Gag order Titah Adendum: Keluarga Najib tidak putus asa

SHAH ALAM - Keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui situasi akan menjadi lebih sukar selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meneruskan permohonan untuk mendapatkan larangan bersuara atau gag order bagi melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu Titah Adendum.

Anak sulung bekas Presiden UMNO itu, Datuk Mohamad Nizar bagaimanapun berkata, keluarganya tidak akan berputus asa untuk meneruskan perjuangan membela nasib bapanya.

"Saya juga percaya parti UMNO sudah melakukan sedaya upaya untuk membantu menegakkan keadilan buat ayahanda kami.

"UMNO juga menghadapi pelbagai rintangan dan tekanan untuk meneruskan usaha membebaskan ayahanda kami kerana banyak perkara yang tidak boleh dibincangkan dan didedahkan kepada khalayak ramai," katanya.

Mohamad Nizar berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri program Town Hall Rakyat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Karangkraf pada Jumaat.

Pada Khamis, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menyatakan AGC akan meneruskan permohonan untuk mendapatkan perintah larangan bersuara sehingga ada arahan sebaliknya.

Ia selepas AGC mengesahkan akan memfailkan permohonan berkenaan pada 20 Januari depan dengan alasan untuk melindungi institusi diraja kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.

**media[2972212]**

Perkara tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang membantah permohonan itu kerana ia melibatkan kepentingan awam dan sudah menjadi topik perbincangan hangat, termasuk di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said pada 14 Januari lalu berpandangan AGC tidak sepatutnya mengeluarkan perintah larangan untuk membincangkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar berkata, beliau dan keluarganya percaya masih ramai ahli UMNO dan rakyat yang masih bersama Najib kerana mengenang jasa dan sumbangan bekas Ahli Parlimen Pekan itu kepada masyarakat dan negara selama ini.

"Ayahanda saya seorang pejuang parti yang tulen biarpun pernah ditekan dan diasak dengan macam-macam, namun kita masih setia dengan UMNO.

"Oleh itu, saya sekeluarga berharap keputusan semakan kehakiman mengenai Titah Adendum di Mahkamah Tinggi nanti akan berpihak kepada Najib kerana kami sentiasa menggunakan saluran untuk memperjuangkan pembebasannya," ujarnya.