2025 ujian sebenar Kerajaan Perpaduan, PN

SEJAK tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti dan berpandukan kepada sistem Westminster, mana-mana parti politik yang memperoleh undi paling banyak kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Sistem pilihan raya digunakan pula berasaskan sistem First-Past-The-Post. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh undi majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya masing-masing.

Sejarah politik negara turut membuktikan pembentukan gabungan politik sangat penting dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya.

Sebagai contoh, Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC berjaya menguasai pentadbiran negara sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama pada 1957, sebelum gabungan itu kemudiannya ditambah baik menjadi Barisan Nasional (BN) yang dianggotai 11 parti di bawah kepimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Sebanyak 14 siri PRU hakikatnya menyaksikan pelbagai jajaran politik baharu dipertaruhkan blok parti pembangkang dalam menumbangkan kerajaan BN.

Sebagai contoh, pembentukan Gerakan Tanah Air (GTA), Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif (BA), Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH).

Akhirnya pada Mei 2018, kerajaan BN pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu buat pertama kalinya tumbang selepas mentadbir lebih 60 tahun kepada PH yang diterajui negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pasca PRU14 menyaksikan koalisi PH runtuh dalam ‘Langkah Sheraton’, parti lokal Sarawak dan Sabah menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan sebuah koalisi politik baharu, Perikatan Nasional (PN) diwujudkan bagi mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Tidak lama selepas itu, BN dipimpin Presiden baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menarik diri daripada kerajaan PN dengan keputusan Parlimen tergantung pasca PRU15 buat julung kali menyaksikan pembentukan satu lagi gabungan politik mega melibatkan 18 parti iaitu Kerajaan Perpaduan.

Berdasarkan sejarah itu, tiada lagi parti tunggal yang mampu memenangi bilangan kerusi majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen bagi mentadbir negara ini.

Justeru, penentuan hala tuju konfigurasi politik negara dilihat sangat signifikan pada tahun 2025, lebih-lebih lagi siri Pilihan Raya Negeri (PRN) akan bermula hujung tahun hadapan.

Dengan PRN Sabah dijangka membuka tirai pilihan raya selewat-lewatnya Oktober 2025, ia akan diikuti beberapa PRN lain seperti PRN Melaka (paling lewat November 2026), PRN Sarawak (Disember 2026) dan PRN Johor (Mac 2027).

Bagi pemerhati politik, Azizi Safar, beliau melihat isu memuktamadkan konfigurasi politik dalam kalangan parti kerajaan mahupun pembangkang tidak akan dapat direalisasikan menjelang PRU16.

Sekalipun teori atas kertas menunjukkan seolah-olah gabungan Kerajaan Perpaduan bagi blok kerajaan serta PN di blok pembangkang ketika ini stabil, Azizi mendedahkan isu dalaman dan masalah perbezaan ideologi politik dalam kalangan parti-parti gabungan menyebabkan kesatuan kedua-dua gabungan berkenaan masih ‘goyah’.

“Biarpun ada berpandangan PRN Sabah tidak sesuai menjadi ukuran keutuhan jajaran politik sedia ada disebabkan landskap politik negeri itu berbeza, saya berlainan pendapat.

“Suka atau tidak, PRN Sabah tetap akan menjadi medan penentuan sama ada pembentukan jajaran politik sedia ada ini akan diteruskan atau berpecah. Ini kerana parti seperti UMNO, PH dan PN masih dianggap kelompok parti semenanjung yang sukar diterima penduduk tempatan walaupun sudah lama bertapak di negeri itu.

“Justeru, amat menarik untuk diperhatikan bagaimana pemain politik di Sabah menguruskan hala tuju parti masing-masing terutamanya UMNO, PH dan PN.

“Dengan GPS dari negeri jiran Sarawak akan turut memerhati bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahmad Zahid (Presiden UMNO) dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan parti-parti lokal pada PRN Sabah, saya yakin parti semenanjung yang paling menunjukkan keikhlasan bekerjasama akan menerima manfaat terbesar,” katanya kepada Sinar Premium.

4 HALANGAN UTAMA

Sementara itu, Penolong Setiausaha Koordinasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni memberi pandangan peribadi bahawa tidak mustahil setiap parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan lebih memilih untuk tidak memuktamadkan kerjasama politik sesama mereka sewaktu PRU16 berlangsung.

Jelasnya, pandangan itu mengambil kira beberapa isu kesukaran atau halangan yang perlu ditempuhi parti-parti yang terlibat dalam koalisi Kerajaan Perpaduan sekiranya kesemua pihak komited untuk menjadikan kerjasama politik itu rasmi.

“Terdapat empat halangan utama yang perlu difikirkan sekiranya PH atau BN bergerak secara rasmi di bawah satu koalisi politik seperti isu terbesar adalah formula pembahagian kerusi pilihan raya, pembentukan manifesto pilihan raya, calon Perdana Menteri dan perbezaan ideologi politik ketara sesama mereka.

**media[2947896]**

“Dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya, sekiranya UMNO-BN diberi ruang bertanding di kerusi majoriti Melayu dimenangi Bersatu, bagaimana pula nasib Parti Amanah Negara (Amanah) bahkan calon Melayu PKR sendiri?

“Perbezaan ideologi politik ketara turut menyukarkan usaha membentuk manifesto pilihan raya di bawah satu panji Kerajaan Perpaduan.

"Justeru, saya menjangkakan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan lebih selesa bergerak secara solo, tetapi mengekalkan kerjasama tidak rasmi sesama mereka,” katanya.

Dari sudut pembangkang, Iswardy tidak menolak kemungkinan Pas mencipta kejutan dengan melaksanakan kerjasama tidak rasmi bersama UMNO-BN, di tengah-tengah kemelut dana parti dalam akaun Bersatu kini sedang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal tahun lepas.

“Penghujung tahun ini, kita mula melihat bibit-bibit perbalahan antara Pas dan Bersatu mula tercetus disebabkan tekanan mendepani PRU16 tanpa dana politik mencukupi.

“Jadi, saya tidak hairan spekulasi pertemuan pemimpin Pas dengan Ahmad Zahid timbul. Ini kerana Pas sedar UMNO-BN mempunyai kekuatan kewangan berbanding Bersatu ketika ini.

"Jadi dengan akar umbi Pas lebih selesa mengembalikan semangat Muafakat Nasional dengan UMNO, mengapa tidak Pas kembali bekerjasama secara tidak rasmi dengan UMNO kelak,” ujarnya.