SHAH ALAM - Pas didakwa cuba mengambil kesempatan atas penganjuran himpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meraih sokongan UMNO.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas cuba menonjolkan diri sebagai hero dalam kalangan ahli-ahli UMNO agar ahli parti itu yang menyokong Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lalu tidak akan berpatah balik.
Menurutnya, pada masa sama Pas mengharapkan ahli-ahli UMNO untuk melihat mereka sebagai penyelamat seterusnya menyatakan sokongan kepada parti itu.
“Bagi saya, tindakan Pas itu hipokrit. Pas hanya ambil kesempatan sedangkan suatu ketika dahulu mereka kuat menghentam Najib. Antaranya ucapan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) mengatakan UMNO kalau dibiarkan lama akan lingkup negara.
“Beliau juga persoalkan berapa banyak pembayaran yang terpaksa dibayar berkaitan 1MDB. Itu ucapan Tuan Ibrahim yang masih ada di media sosial,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mahfuz berkata, tindakan Pas untuk turut serta dalam himpunan solidariti untuk Najib umpama ‘matlamat menghalalkan cara’.
“Matlamat mereka untuk mendapatkan sokongan walaupun bertentangan dengan apa cara sekalipun, mereka akan lakukan.
“Dahulu mereka (Pas) mengkritik Najib dan UMNO. Hari ini tiba-tiba bersolidariti bagi mendapatkan sokongan ahli UMNO. Itulah perbezaan antara dua penganjuran himpunan antara Pas dan UMNO,” jelasnya.
Tambahnya, ia bukan penganjuran bersama Pas-UMNO, secara kebetulan berlaku pada program sama dengan dua penganjuran berbeza.
“Ia tidak akan menimbulkan keretakan hubungan atau menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan. Ia adalah himpunan solidariti untuk Najib, bukan himpunan untuk keluar daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.
“UMNO berhak anjurkan program tersebut kerana sewajarnya mereka beri sokongan kepada pemimpin parti seperti parti-parti lain juga akan membela pemimpin parti masing-masing.
“Sama seperti Pas membela Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad untuk kutipan derma bantu bayar denda. Jadi janganlah ada pihak menyalahkan UMNO, saya rasa itu tidak adil,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial sepucuk surat Pas mengarah ahlinya berhimpun bagi Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan pada 6 Januari mulai jam 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Dalam pada itu, Mahfuz turut menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengingatkan UMNO berkaitan program bersama Pas akan menimbulkan keraguan serta kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan, sebagai tidak wajar.
“Tidak sepatutnya kenyataan sebegitu dikeluarkan kerana tidak bertepatan dengan apa yang berlaku.
“DAP mahupun semua parti harus memahami, setiap parti ada sentimen terhadap pemimpin mereka untuk menunjukkan kebersamaan dalam keadaan susah mahupun senang.
“Sama juga dengan Guan Eng yang pernah melalui fasa tersebut berkaitan kes mahkamah yang menyaksikan ahli-ahli DAP menunjukkan solidariti dan kebersamaan dengan beliau,” jelasnya.
Mahfuz berkata, beliau berharap setiap parti bawah Kerajaan Perpaduan menghormati hak masing-masing biarpun berada di bawah satu bumbung.