Najib boleh jalani perintah tahanan di rumah - Peguam

SHAH ALAM - Biarpun tiada sebarang akta berkaitan tahanan di rumah digubal, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih boleh menjalani baki hukuman penjara di rumahnya jika mahkamah mengesahkan Titah Adendum berkaitan hukuman beliau wujud dan sahih.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menjelaskan, majoriti rakyat Malaysia termasuk ahli politik salah faham apabila mereka cuba menghubungkan pelaksanaan Rang Undang Undang (RUU) Tahanan Rumah yang bakal dibentangkan di Parlimen tahun depan dengan keputusan Titah Adendum dikemukakan Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Jelasnya, langkah penggubalan RUU Tahanan Dalam Rumah itu tiada kena mengena dengan keputusan pengampunan diraja diberikan Yang di-Pertuan Agong terdahulu menerusi Titah Adendum.

“Sebenarnya proses pengampunan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah bebas daripada sebarang undang-undang sedia ada termasuk Akta Penjara atau Akta Tahanan Rumah yang sedang digubal oleh kerajaan semasa.

“Ini kerana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara mutlak sama ada kerajaan semasa sudah menggubal Akta Tahanan Rumah atau tidak,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, RUU Tahanan Rumah yang sedang digubal kerajaan sekarang adalah bertujuan memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman tahanan kediaman terus kepada seseorang pesalah tanpa perlu masuk ke penjara.

“Itu bidang kuasa mahkamah yang tiada kena mengena dengan kuasa Lembaga Pengampunan Diraja dan Yang di-Pertuan Agong seperti ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi sama ada Akta Tahanan Rumah diwujudkan atau tidak pada tahun depan, maka ia tidak memberi kesan terhadap bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, jika Yang di-Pertuan Agong mahu memerintahkan seseorang banduan diberikan pengampunan dan dibebaskan terus atau ditempatkan hotel tertentu pun memang boleh kerana kuasa baginda tidak tertakluk kepada mana-mana akta,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri menjelaskan, pengurangan hukuman penjara seseorang banduan yang berkelakuan baik juga boleh diberikan mengikut Seksyen 44, Akta Penjara 1995, tanpa kelulusan Lembaga Pengampunan Diraja dan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, Seksyen 43, Akta Penjara 1995 pula memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk membenarkan seseorang banduan menjalani hukuman penjara di mana-mana kawasan difikirkan logik termasuklah kilang dan rumah kediaman, yang diisytiharkan sebagai penjara.

“Begitu juga Seksyen 46 Akta yang sama membenarkan Lembaga Parol untuk menimbangkan pelepasan mana-mana banduan dalam kes-kes tertentu untuk dilepaskan kepada masyarakat selepas perjalanan tempoh tertentu di penjara.

“Jadi kita kena bezakan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dengan pengurangan hukuman atau permohonan parol diberikan kepada banduan tertentu selepas mereka menjalani separuh daripada tempoh tahanan di penjara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menjelaskan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini bakal menentukan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agung bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Mohamed Haniff Khatri berkata, jika Mahkamah Rayuan memutuskan Titah Adendum wujud, maka kes itu perlu dihantar dan dibicara di Mahkamah Tinggi atas meritnya selepas kebenaran diberikan.

Turut senada, peguam, Mohd Zainuddin Omar berpandangan Najib boleh menjalani baki hukuman penjara di rumahnya sekiranya telah mendapat perkenan pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, ini kerana kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah mutlak dan tiada kaitan dengan Akta Tahanan Rumah yang berkait dengan penghukuman sama ada sudah diwujudkan di Malaysia atau tidak.

Namun, Mohd Zainuddin berkata, isunya sekarang adalah sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kuasa Pengampunan Diraja dan Yang di-Pertuan Agong tersebut.

Berikutan itu, keputusan kes Najib di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini akan mengambil kira pelbagai isu teknikal termasuk berkaitan tafsiran Perlembagaan Persekutuan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa atau tidak untuk mendengar kes Titah Adendum.

Mohd Zainuddin berkata, ini kerana dakwaan kewujudan Titah Adendum itu sendiri tidak pernah dikeluarkan secara rasmi atau disahkan sendiri oleh Lembaga Pengampunan Diraja mahu pun oleh Yang di-Pertuan Agung.

Malah, ujarnya sebelum ini Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa isu Titah Adendum ini adalah bersifat hearsay atau khabar angin sahaja dan tiada bukti kukuh ditampilkan pihak berkenaan.

“Biarpun ada dakwaan Titah Adendum yang sudah tersebar meluas termasuk di media sosial berkenaan adalah ‘benar' walaupun tanpa tandatangan Yang di-Pertuan Agong.

“Namun kesahihan dan keberkuatkuasaan Titah Adendum dari sudut undang-undang masih boleh diperdebatkan kerana ia tidak dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri atau melalui Lembaga Pengampunan Diraja,” katanya.