Cadang PH Johor diketuai PKR tahun depan - AMK Johor

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mencadangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerajui Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dengan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai pengerusi bermula tahun depan.

Timbalan Ketua AMK Johor, Mohammad Salmin Mohamad berkata, pelantikan PKR bukan sahaja disebabkan prestasi tetapi demi memastikan kesinambungan pengaruh PH di negeri ini.

Jelas beliau, Syed Ibrahim yang merupakan Ketua Whip Backbencher PH memiliki pengalaman luas dalam politik diyakini mampu membawa penyatuan yang lebih kukuh dalam PH Johor.

"PKR sudah membuktikan kekuatannya dengan memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan parti-parti PH sejak PRU ke-14 pada tahun 2018 dan PRU15 pada tahun 2022.

"Pencapaian ini mencerminkan Keadilan Johor mampu mengetuai agenda reformasi yang inklusif dan progresif," katanya dalam kenyataan.

Pada PRU15 lalu, PKR memenangi enam kerusi parlimen di Johor iaitu Parlimen Sekijang yang diwakili Dr Zaliha Mustafa, Segamat (R Yuneswaran), Ledang (Syed Ibrahim Syed Noh), Johor Bahru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir), Batu Pahat (Onn Abu Bakar) dan Tebrau (Jimmy Puah Wee Tse).

Menurut Mohammad Salmin, jawatan Pengerusi PH Johor telah disandang oleh pemimpin dari pelbagai parti rakan gabungan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah) sejak 2018.

Bagaimanapun, tegasnya cadangan terbabit tidak bermaksud mengetepikan sumbangan parti-parti lain.

"Kepimpinan terutama daripada Amanah telah memberikan sumbangan besar kepada kestabilan dan pengukuhan PH di negeri ini.

"Johor memerlukan kepimpinan yang strategik dan persiapan yang rapi untuk memastikan PH terus menjadi pilihan rakyat memandangkan tempoh penggal yang akan berakhir pada tahun 2027 dan satu perhitungan bahawa PRU16 semakin mendekat," katanya.

Justeru beliau menggesa semua pihak di dalam PH melihat cadangan terbabit sebagai peluang memperkukuhkan sinergi dan mempersiapkan Johor untuk cabaran mendatang.

"Kami percaya dengan semangat kebersamaan, gabungan ini mampu terus bergerak lebih jitu demi membawa perubahan positif kepada rakyat Johor.

"Kepimpinan yang mantap adalah asas kepada kejayaan kita bersama," ujarnya.

Pengerusi PH Johor kini disandang Aminolhuda Hassan yang merupakan Pengerusi Amanah Johor.

Ahli Parlimen Sri Gading itu menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Pengerusi PH sebelum ini.