SHAH ALAM - “Tohmahan itu saya lihat begitu keji dan boleh merendahkan minda sebagai seorang bekas profesor!,” kata Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), menempelak dakwaan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah bahawa wujud kemasukan pelajar universiti awam melalui ‘pintu belakang’.
Menurutnya lagi, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan daripada seorang bekas profesor.
“Memandangkan yang berucap adalah seorang bekas Naib Canselor sebuah universiti awam terkemuka, wajar rasa malu lebih lagi apabila semua bekas rakan sejawat daripada universiti awam telah ambil bahagian dalam satu kenyataan media untuk menyangkal sekerasnya fitnah yang dibuat tersebut. Malu bukan?
“Semalam saya rujuk bahagian pengambilan pelajar UM untuk mendapatkan statistik sama ada benar tuduhan bahawa universiti telah berkompromi dalam pengambilan pelajar miskin melalui saluran perdana Unit Pusat Universiti (UPU), semata-mata memberi lebih laluan kepada pelajar kaya dan pelajar antarabangsa melalui ‘pintu belakang’?," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang dibuat oleh Haim Hilman bahawa wujud kemasukan pelajar ke universiti awam melalui ‘pintu belakang’ sekali gus menafikan hak anak-anak golongan miskin.
Pada Sabtu lalu, beliau dalam satu ceramah perdana dipercayai diadakan di Ayer Molek, Melaka mendakwa kemasukan pelajar ke universiti melalui 'saluran terbuka' menafikan hak anak-anak golongan miskin.
Dalam pada itu, Mohamed Nashrudin mengulas mengenai statistik dapatan UM, jumlah pelajar yang ditawarkan tempat di UM pada tahun 2023 melalui saluran perdana adalah seramai 3786 orang manakala pada 2024 pula seramai 3925 orang.
“Bagi saluran terbuka (2023) pula, seramai 705 telah ditawarkan berbanding 1083 pada 2024. Bagi pelajar antarabangsa, seramai 409 yang ditawarkan pada tahun (2023) dan meningkat kepada 542 pada 2024.
“Kesimpulannya, slot anak tempatan daripada saluran perdana tidak sedikit pun dikorbankan! Malah universiti berjaya memperoleh pendapatan tambahan dari saluran-saluran selain perdana yang saya nyatakan.
“Saya percaya, statistik sama juga boleh dilihat pada universiti-universiti awam yang lain,” ujarnya.
Mohamed Nashrudin mendakwa, kenyataan yang dibuat Haim Hilman itu berkemungkinan hanya untuk mendapatkan perhatian pengundi muda kerana menyangkakan mereka masih belum terdidik dan lebih gemar kontroversi murahan berbanding fakta.
“Saya mohon untuk tidak hanyut dan berubah daripada seorang ahli akademik bijaksana, berpaksikan fakta serta logik kepada menjadi seorang politikus rakus acuan Pas yang cuma mahu berlumba-lumba menyebar kebencian atau fitnah melata.
“Walau apa jua andaian di atas, ia amat mengecewakan untuk seorang ahli politik baharu yang merupakan bekas ahli akademik sepatutnya menjadi tauladan elok kepada politikus sedia ada.
“Juga bertanggungjawab kepada masyarakat dengan mendidik mereka untuk mengamalkan nilai baik. Jauh sekali menghidangkan mereka dengan persepsi palsu penuh dusta tanpa fakta demi kelangsungan politik peribadi,” katanya.