Anwar wajar dapatkan penjelasan Hannah, Kor Ming

SHAH ALAM - Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berikutan kontroversi menyelubungi mereka baru-baru ini.

Kata Haniff, Perdana Menteri wajar memanggil menteri berkenaan untuk berbincang mengenai tindak-tanduk dan keputusan mahkamah terbabit selain boleh untuk mendapatkan sendiri penjelasan daripada mereka.

“Ini adalah tanggungjawab Anwar untuk menjawab persoalan terhadap menterinya yang bukan Islam dan memberikan teguran keras supaya mereka tidak masuk campur dalam urusan agama Islam atau membuat kenyataan di mana mereka tidak berhak berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, Haniff menegaskan, tidak semestinya Anwar perlu memecat menteri berkenaan seperti desakan menggugurkan Hannah kerana prosiding kes itu bakal dijalankan di Mahkamah Rayuan.

“Untuk kes Hannah, ia adalah penemuan di Mahkamah Tinggi. Kalau Mahkamah Rayuan kata keputusan sebelum ini salah, maka tidak betul jika Anwar pecat Hannah sekarang kerana sebagai orang Islam kita kena berlaku adil kepada semua,” katanya.

Isnin lalu, Hannah yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP kalah dalam kes saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu.

Dalam pada itu, Haniff turut mempertikaikan kewajaran Kor Ming mengadakan program sambutan perayaan Hari Krismas di lobi KPKT baru-baru ini.

Dakwanya, perbuatan Kor Ming bertentangan dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dalam kes ‘Kalimah ALLAH’ yang menyarankan kerajaan Persekutuan dan agensi di bawahnya supaya sentiasa memainkan peranan untuk memartabat dan menyokong agama Islam.

“Apabila Kor Ming mengadakan upacara perayaan Krismas di lobi utama KPKT, maka tidak selari dengan tanggungjawabnya sebagai agensi kerajaan untuk memartabatkan agama Islam. Ini sepatutnya dikaji dan diteliti serta diberikan kritikan membina oleh rakyat.

“Media arus perdana juga perlu mempersoalkan dan memainkan isu sama ada beliau berhak untuk membenarkan sambutan Krismas secara rasmi di lobi utama KPKT,” ujarnya.