PRU16: Sukar untuk BN gerak solo

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu meneruskan kerjasama dengan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan terutama Pakatan Harapan (PH) jika mereka mahu terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ini kerana semua gabungan parti politik utama termasuk BN, PH mahu pun Perikatan Nasional (PN) mempunyai kekuatan hampir seimbang dan hanya taktikal yang betul bakal menentukan parti manakah akan dinobatkan sebagai pemenang seterusnya berkuasa di Putrajaya.

Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Malaysia Terengganu berkenaan menjelaskan, PH dan BN juga dilihat saling memerlukan bagi mengimbangi kekuatan PN.

“PH mempunyai kekuatan di kawasan bandar dengan demografi bercampur etnik, BN/UMNO pula memiliki kekuatan dalam segmen Melayu. Jadi kombinasi antara kedua-dua koalisi parti ini akan membuka lebih peluang untuk mereka menang dalam PRU16 nanti.

“Jika PH dan BN bertanding sendirian dalam PRU16 nanti, maka peluang untuk mereka menang dan kembali berkuasa semakin tertutup. Justeru untuk memastikan kerjasama parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal sehingga PRU16, maka semua pihak perlu berjiwa besar.

“Bila sudah berpakat, mesti berbahagi, tiada istilah membolot dalam berpakat. Untuk mewujudkan keharmonian dalam kerjasama ini, mesti ada formula yang kukuh untuk dipatuhi oleh semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Sinar Premium.

Mohd Yusri berkata, formula paling ampuh adalah penyandang akan kekal bertanding di kawasan yang dimenangi, manakala jika kedua-duanya kalah, parti yang memperolehi undi paling banyak akan bertanding melawan penyandang daripada parti lawan di kawasan tersebut.

“Jika ada pengecualian di sesuatu kawasan, maka perlu ada gantian di kawasan lain supaya formula ini kekal dipatuhi. Untuk pengecualian dan penggantian ini, penyelarasan perlu dilakukan pada peringkat pusat, bukan sekadar peringkat negeri.

“Inilah situasi paling sesuai untuk mengatasi isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias baru-baru ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri menegaskan BN dan PH perlu mematuhi formula kerjasama supaya perpaduan kekal utuh.

“Tidak ada isu sama ada UMNO semakin melemah atau tidak. Ini kerana pada pandangan saya, BN/UMNO atau PH masing-masing mempunyai kelemahan tersendiri buat masa sekarang.

“Kelemahan tersebut menyebabkan peluang mereka untuk menang menjadi agak kabur jika bertanding solo. Peluang untuk menang semakin bertambah jika mereka terus bergabung dalam PRU16.

“Namun adat berpakat mesti saling hormat menghormati, banyak isu perlu dibincang secara dalaman, jangan terlalu cepat membuat kenyataan terbuka,” tegasnya.