Pas Pahang gesa kerajaan kaji semula pelantikan Thaksin

KUANTAN - Pas Pahang menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN 2025.

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, langkah itu mencetuskan persoalan besar terhadap keutamaan dan integriti kepimpinan negara.

"Kami gesa kerajaan mengkaji semula keputusan ini dan memfokuskan kepada usaha menyelesaikan masalah dalaman negara yang lebih mendesak.

"Malaysia memerlukan kepimpinan yang telus dan berintegriti, bukan yang terkesan dengan kontroversi dan skandal," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan pelantikan itu bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan pelbagai persoalan tentang kredibiliti kepimpinan negara dalam membuat keputusan yang melibatkan reputasi Malaysia di mata dunia.

Menurutnya, rekod Thaksin yang penuh kontroversi, termasuk tuduhan salah guna kuasa dan rasuah, menimbulkan persoalan sama ada beliau adalah individu yang sesuai untuk menjadi penasihat.

"Thaksin pernah terlibat dalam peristiwa berdarah Tak Bai dan operasi antidadah di Thailand yang meragut ribuan nyawa tanpa proses perundangan yang adil.

"Apakah ini jenis kepimpinan yang wajar dijadikan rujukan untuk Malaysia?" soalnya lagi.

Aireroshairi menjelaskan tindakan melantik penasihat luar negara yang kontroversial itu memperlihatkan kecelaruan pemikiran dalam pentadbiran semasa.

Katanya, terdapat ramai pakar tempatan dan serantau yang lebih berkelayakan untuk memberi nasihat berkaitan ASEAN, tetapi mengapa pilihan jatuh kepada individu yang rekod kepimpinannya dipersoalkan.

"Melalui pemerhatian saya, ini adalah satu lagi episod 'mujamalah politik' yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat Malaysia.

"Saya mewakili Pas Negeri Pahang menuntut penjelasan terperinci tentang kriteria pemilihan dan apakah faedah sebenar pelantikan ini kepada negara," katanya.

Terdahulu, pelantikan Thaksin, yang dicadangkan oleh Malaysia dan dipersetujui oleh Thailand, diumumkan Perdana Menteri dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Putrajaya.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun hadapan dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan', yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur.