PRN Sabah: Tak mustahil PN, parti tempatan bekerjasama

SHAH ALAM - Tidak mustahil ada parti tempatan Sabah yang berminat menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, mana-mana parti tempatan yang bercadang bergabung dengan PN perlu membuat pertimbangan sewajarnya kerana sentimen kenegerian yang semakin kuat dalam kalangan rakyat Sabah.

**media[2937182]**

Katanya, rakyat Sabah juga kini lebih tertarik kepada perjuangan parti tempatan berbanding parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

“Malah, saya meramalkan PN akan menghadapi kesukaran meraih undi besar jika mereka gagal menjalin kerjasama dengan mana-mana parti tempatan pada PRN.

“Namun, ini tidak bermakna PN akan kalah semua kerusi ditandingi kerana rakyat mungkin memilih mereka berdasarkan kredibiliti dan pengaruh calon yang mewakili koalisi tersebut,” katanya kepada Sinar Premium.

Romzi berkata demikian ketika mengulas sama ada PN akan bekerjasama dengan parti tempatan selepas Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada koalisi tersebut.

Dalam pada itu, Romzi juga mencadangkan agar PN segera menamakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, sebagai calon poster boy mereka yang dilihat dapat membantu menarik sokongan rakyat Sabah.

“Pemilihan Ronald adalah pilihan tepat. Beliau bukan sahaja berpengalaman luas termasuk pernah dilantik sebagai menteri di peringkat kerajaan Persekutuan semasa era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, tetapi juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti tinggi,” ujar Romzi.

Sementara itu, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Yunus Nurdin mengesahkan bahawa mereka telah mula bergerak tanpa SAPP dan sedang dalam perbincangan dengan parti komponen PN untuk pembahagian kerusi.

Namun, beliau mengakui bahawa PN juga sedang mengadakan perbincangan awal dengan beberapa parti tempatan sebagai sebahagian daripada dinamika politik semasa khususnya dalam konteks Sabah.

“Tetapi kami masih belum membuat keputusan muktamad. Setakat ini, kami masih bergerak solo,” jelasnya.

Pada PRN Sabah 2020, PN berjaya memenangi 17 kerusi DUN dengan 11 daripadanya dimenangi oleh calon Bersatu, manakala enam lagi dimenangi oleh calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Namun, STAR yang dipimpin oleh Datuk Seri Jeffrey Kitingan keluar daripada PN pada Disember 2022 dan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.