UMNO terbuka terima semula bekas pemimpin termasuk KJ

PASIR MAS - UMNO sentiasa terbuka untuk menerima semula bekas pemimpin kembali menyertai parti itu terutama yang pernah berjasa termasuk Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagaimanapun berkata, mereka perlu patuh kepada syarat kerana parti mempunyai struktur.

"Jika Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Noh Omar atau sesiapa sahaja yang ingin sertai parti boleh mohon semula.

**media[2922673]**

"Presiden Parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berjiwa besar. Sebagai contoh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman seteruk mana dia hentam Presiden tetapi tetap diterima semula," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu beliau turun padang bergotong-royong membersihkan Tabika Kemas Harmoni di Kampung Serongga di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Menurut Dr Muhamad Akmal, beliau menafikan dakwaan pemimpin UMNO telah dicucuk hidung.

"Saya adalah bukti bahawa UMNO ini bukan pemimpin yang dicucuk hidung.

"Sudah berapa kali saya berbeza pendapat. Dalam parti ini bila berbeza pendapat kita menerima semua pandangan tetapi apa sekali pun keputusan yang dibuat kita akur," katanya.

Dr Muhamad Akmal memberitahu, jika beliau berbeza pendapat sudah tentu telah dibuang tetapi parti meraikan pendapatnya.

"UMNO sekarang telah berubah, ya dulu betul. Tapi sekarang telah berubah ke arah lebih baik," katanya.