PRN Sabah: BN perlu ada kerjasama

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) perlu membina kerjasama politik yang kukuh dengan parti-parti tempatan jika ingin kembali mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) pada tahun depan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg juga berpendapat, jika BN berhasrat untuk kembali berkuasa di Sabah, koalisi tersebut harus memastikan majoriti pemimpin dan parti tempatan di negeri tersebut kembali menjadi sebahagian daripada komponen BN.

**media[2920754]**

Malah kata Romzi, BN juga perlu memperjuangkan tuntutan hak Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan Malaysia bagi menghapuskan ketidakpuasan hati rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya berkaitan dengan jurang pembangunan sosioekonomi serta infrastruktur yang ketara berbanding dengan Semenanjung.

“Saya juga meramalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin akan tergantung sekali lagi kerana tiada satu pun koalisi – sama ada BN, Parti Warisan Plus, Gagasan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH), atau Perikatan Nasional (PN) dijangka memperoleh majoriti mudah atau memenangi sekurang-kurangnya 37 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN nanti,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Dalam pada itu, Romzi menambah BN juga mempunyai sedikit kelebihan berbanding parti lain kerana jentera parti yang berpengalaman dan pernah mentadbir Sabah selama beberapa penggal.

“Justeru, saya melihat BN tidak menghadapi masalah besar untuk menguasai semula 14 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Sabah ke-16 lalu,” katanya.

**media[2920755]**

Romzi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup yang meletakkan harapan tinggi agar BN kembali mendominasi pentas utama politik dan pentadbiran di Sabah menerusi PRN yang bakal diadakan.

Arthur percaya formula dan struktur BN adalah yang terbaik untuk negara terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama dengan pencapaian besar BN dalam pembangunan Sabah sejak dahulu.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa BN telah berjaya mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, selaras dengan Perlembagaan Malaysia 1963, melalui kelulusan majoriti dua pertiga Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021.