Manifesto MA63 bukan retorik politik PN

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menempelak kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan parti itu bermain retorik politik selepas menyarankan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai manifesto pilihan raya negeri (PRN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Affan Jumahat berkata, mereka menghormati dan mahu menunaikan tuntutan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan yang berkait pembayaran semula 40 peratus daripada hasil negeri itu.

Dakwanya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal menunaikannya dan keliru berhubung peruntukan wajib seperti termaktub dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia meliputi Geran Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pemberian Bilangan Orang 2002; Geran Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) di bawah Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Geran Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup di bawah Perkara 109(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, seorang pemimpin UMNO Sabah menyifatkan Perikatan Nasional (PN) hanya mahu bermain retorik politik apabila bercadang menjadikan tuntutan MA63 sebagai perkara utama dalam manifesto PRN negeri itu.

Bung Moktar berkata, ini kerana kebanyakan tuntutan berkenaan yang hampir diselesaikan tersebut giat dimulakan apabila Barisan Nasional (BN) mula mentadbir negeri berkenaan sejak 1994 dan kini diteruskan bawah kerajaan perpaduan.

Pada Ahad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tuntutan dalam MA63 akan dijadikan sebagai induk manifesto gabungan itu pada PRN Sabah.

Mengulas lanjut, Affan mempersoalkan sama ada Bung Moktar masih ingat bahawa beliau pernah memperlekehkan rakyat Sabah mengenai hasil 40 peratus bayaran balik hasil kepada Sabah dan Sarawak.

“Bung pernah kata negara berisiko muflis jika 40 peratus hasil dikembalikan kepada Sabah,” dakwanya.