Gerakan gesa kerajaan percepat rancangan pengurusan banjir

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi mempercepatkan pelaksanaan rancangan pengurusan banjir di kawasan hitam dalam negara khususnya di Pantai Timur.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai turut mencadangkan isu itu dijadikan sebagai keutamaan yang mendesak untuk mengurangkan kerugian kewangan dan kehilangan nyawa akibat bencana alam.

Ujarnya, walaupun Kerajaan Perpaduan memperuntukkan hampir RM600 juta dalam Belanjawan 2025 untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menghadapi banjir, termasuk RM300 juta untuk persediaan bencana, Gerakan berpendapat jumlah itu hanya cukup untuk bantuan di kawasan bencana, tetapi tidak untuk melaksanakan rancangan pengurusan banjir yang berkesan.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat mengetepikan perbezaan pandangan politik dan bekerjasama dalam melaksanakan projek pengurusan banjir.

"Banjir membawa kepada korban nyawa dan harta benda secara langsung, dan turut menyebabkan penurunan nilai hartanah serta menjejaskan pelaburan, terutama di beberapa kawasan di Pantai Timur.

"Walaupun bencana alam tidak dapat dielakkan, rancangan pengurusan terperinci oleh kerajaan mungkin dapat membantu mencegah banjir dan mengurangkan kerugian ke tahap minimum," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, ujarnya, Gerakan turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir dan berterima kasih kepada petugas serta rakyat pelbagai kaum menghulurkan bantuan di kawasan bencana.

"Ketika ini, semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan memberikan sepenuh tenaga untuk menyediakan keperluan kepada mangsa banjir," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, Semenanjung Malaysia pernah mengalami banjir besar merentas negeri yang paling teruk pada akhir tahun 2014.

Ujarnya, kejadian bencana itu telah menyebabkan 22 kematian dan lebih 200,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan kerugian kira-kira RM2 bilion.

"Angka ini tidak termasuk kos ditanggung kerajaan menggerakkan anggota tentera, polis, dan agensi lain ke kawasan bencana bagi bantuan dan operasi menyelamat.

"Oleh itu, kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh selepas kejadian ini dan melaksanakan rancangan pengurusan air (penyebab banjir) secara menyeluruh," ujarnya.

Tambahnya, kerjasama semua pihak diperlukan kerana jika hanya melakukan kerja-kerja pengurusan banjir secara berasingan dan kecil-kecilan, ia hanya akan sia-sia.