SHAH ALAM – Beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak puas hati apabila Menteri perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming tidak menjawab soalan mereka sebaliknya memberi penerangan yang tidak berkaitan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sedangkan penjelasan daripada Menteri sangat diperlukan untuk memberi jawapan kepada rakyat di luar sana.
Beliau memberitahu, setiap soalan yang diberikan semuanya berkaitan dengan isu rakyat antaranya soal usahawan dan peniaga di Masjid Tanah.
“Ini semua isu rakyat yang memerlukan jawapan daripada Menteri, bukannya bermain drama dalam Dewan Rakyat dan ia sangat mengecewakan.
“Dia habiskan masa selama lapan minit untuk terangkan namun tidak menjawab soalan. Kita nak jawapan sebab apa yang dibangkitkan ini isu rakyat yang melibatkan KPKT.
“Semalam saya minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ditukarkan dan hari ini Menteri KPKT pun patut ditukarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Alor setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berpendapat, jika begitu sikap menteri Kerajaan Madani yang mengelak daripada memberi jawapan sebenar maka sudah tiada tempat untuk rakyat mendapatkan penjelasan.
“Biasanya pembahasan awal, itulah menteri jawab dulu tetapi dia mengelak jawab yang belakang serta tidak ikut urutan.
“Jadi saya anggap ini helah menteri KPKT, tukar orang lain. Patutlah dapat ‘D’ sepatutnya bagi E sesuai,’ujarnya.