KONSEP perpaduan dalam kepelbagaian yang diterjemahkan dalam agenda Kerajaan Madani memfokuskan kepada pengukuhan dan mengharmonikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pujian patut diberikan terhadap usaha yang dilaksanakan Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi dasar pentadbiran negara antaranya reformasi perkhidmatan awam dalam meningkatkan kecekapan dan integriti penjawat awam.
Pengenalan kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam bertujuan untuk memperkukuhkan sektor perkhidmatan awam di Malaysia ke arah pembangunan modal insan, penyampaian perkhidmatan dan kerjasama antara sektor awam serta swasta.
**media[2901689]**
Dalam memperkasakan perkhidmatan awam, tumpuan seharusnya difokuskan kepada penambahbaikan struktur organisasi, pembangunan pelan strategik pengurusan sumber manusia dan program peningkatan kompetensi dalam kalangan penjawat awam.
Tadbir urus yang berkesan memerlukan penekanan terhadap pembangunan kapasiti sumber manusia melalui latihan dan pembangunan profesional.
Ini dapat memastikan penjawat awam memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap dan berkesan.
Selain itu, isu ketirisan dan salah guna kuasa yang menjadi perhatian rakyat tidak boleh dipandang enteng oleh pihak kerajaan bagi memastikan setiap penjawat awam memiliki ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan setiap tugas mereka.
Rakyat mengharapkan tadbir urus yang telus dan berintegriti dalam kalangan penjawat awam serta pemimpin kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada masyarakat.
Penekanan kepada nilai-nilai etika dan akauntabiliti adalah penting untuk membina budaya kerja yang positif dan mengelakkan amalan rasuah serta salah guna kuasa.
Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola di peringkat persekutuan, negeri dan agensi kerajaan melalui Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional adalah merupakan satu usaha yang bersungguh-sungguh di bawah Kerajaan Madani dalam menegakkan prinsip-prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan pentadbiran.
Bagaimanapun, terdapat kritikan terhadap pihak kementerian dan agensi kerajaan dilihat agak lambat menangani isu-isu mendesak seperti kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan lebih berkesan.
Peruntukan besar dalam Belanjawan 2025 melalui Kerangka Insentif Pelaburan Baharu dengan suntikan dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion merupakan satu usaha tepat dalam meningkatkan kapasiti bakat tempatan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap bakat luar.
Dalam usaha kerajaan meningkat kemahiran bakat tempatan, isu penghijrahan tenaga kerja ke luar negara merupakan isu yang tidak boleh dipandang ringan.
Berdasarkan laporan World Migration Report 2022 oleh International Organization for Migration (IOM), Malaysia mencatatkan kadar migrasi yang membimbangkan iaitu 5.6 peratus (1.86 juta orang) berbanding dengan kadar purata migrasi global, 3.6 peratus. Isu ini perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Madani bagi mengelakkan kerugian kepada negara dengan kehilangan tenaga kerja terutama mahir dan separuh mahir.
Daripada contoh diketengahkan berkaitan tindakan Kerajaan Madani dalam menangani isu rakyat, jelas menunjukkan kerajaan melalui kementerian dan agensinya telah memberi peranan dan komitmen yang jitu.
Walaupun di peringkat kementerian sudah ada dasar-dasar digubal secara baik, namun ada beberapa agensi pelaksana gagal mematuhi secara berkesan dan menunjukkan prestasi meragukan daripada kaca mata rakyat.
Walau bagaimanapun dengan kesedaran dan kepekaan ketua-ketua agensi berkenaan, beberapa siri tindakan perlu diambil dengan pantas bagi mengelakkan kelemahan berpanjangan. Lebih-lebih lagi sekiranya peranan agensi berkenaan berkait dengan keselamatan dan kestabilan negara.
Melalui Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) yang diperkenalkan oleh kerajaan ini dapat dijadikan platform meningkatkan kefahaman rakyat mengenai usaha dan inisiatif kerajaan serta reformasi perkhidmatan awam.
* Oleh Ketua Jabatan Pengurusan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP), Dr Rogis Baker dan Ketua Jabatan Pengurusan dan Profesor Madya Jabatan Pengurusan FPPP, Profesor Madya Dr Mohd Hamran Mohamad.