SHAH ALAM - Gandingan tiga naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu dilantik bagi penggal 2024-2027 dilihat sebagai formula terbaik ke arah memperkuatkan parti.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketiga-tiga figura tersebut bersama ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan membantu presiden dan timbalan parti berkenaan untuk menjulang perjuangan membela agama, bangsa serta negara.
“Tahniah kepada ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memenangi jawatan naib presiden.
“Gandingan mereka ini merupakan formula terbaik ke arah kekuatan parti bersama-sama ahli MPT,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Radzi, Ronald dan Ahmad Faizal menewaskan tiga calon lain iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ketika sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Bersatu Petaling Jaya pada Isnin.
Menurut Abdul Azim, mendahului senarai undian tertinggi ialah Radzi (11,690), Ronald (11,295) diikuti Ahmad Faizal (9,238).
Tan Sri Muhyiddin Yassin juga secara rasmi diumumkan kekal sebagai Presiden Bersatu manakala Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin menang tanpa bertanding jawatan Ketua Srikandi selepas penyandangnya, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengambil keputusan untuk menarik diri.
Turut menang tanpa saingan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagi jawatan Naib Ketua Srikandi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pula diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu dengan 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir yang meraih 1,718 undi.