'Henti ungkit sejarah, masalah lama'

SHAH ALAM - Sudah tiba masa semua pemimpin mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan berhenti ‘mengungkit’ sejarah dan isu lama yang boleh menjejaskan suasana harmoni dengan kesepakatan yang wujud antara semua pihak.

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, cakap-cakap politik yang negatif perlu dihentikan kerana ia berisiko meruntuhkan organisasi meskipun sekadar pandangan peribadi.

Menurutnya, peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar pemimpin UMNO tidak menimbulkan masalah kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan juga wajar diberi perhatian pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan menjaga sensitiviti semua pihak.

“Kita sekarang dalam mood cantik dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi kita masing-masing dan semua parti jaga kesepakatan serta kerjasama ini supaya kerajaan ini dapat tadbir, kekal dan tidak timbul masalah kepada kerajaan dan rakyat.

“Kerjasama dalam kerajaan dah cantik. Jadi cakap-cakap politik negatif ini lebih baik kita berhenti sekejap...semua orang ada sejarah, semua orang ada masalah.

“Semua dalam UMNO tahu kita kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan...berbeza dengan dulu, sekarang lain.

"Jadi ini realiti yang berlaku membolehkan kerajaan terus jaga rakyat dan buat kerja dengan mantap. Pilihan raya nanti itu cerita lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mengulas peringatan Ahmad Zahid pada Selasa yang mahu pemimpin UMNO tidak ‘usik’ rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid menegaskan, hubungan dan situasi semasa dalam kerajaan harus dikekalkan dengan sikap hormat-menghormati.

Ia susulan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah hanya penumpang dalam Kerajaan Perpaduan selain meminta PH memohon maaf kepada UMNO demi membersihkan segala persepsi dan tohmahan yang dilemparkan ketika menjadi seteru politik.

Mengulas lanjut, Othman bersetuju dengan peringatan Timbalan Perdana Menteri itu dan turut menasihatkan agar setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak memberi bola tanggung kepada pembangkang.

Katanya, perbezaan pandangan juga perlu mengambil kira sentimen semua pihak yang perlu dijaga dengan baik demi mengukuhkan kerjasama.

“Kena jaga sensitiviti parti-parti lain misalnya DAP kalau nak cakap pun kena jaga juga sensitif atau tidak dengan UMNO.

"Mungkin ada individu-individu dalam parti berkenaan lantang bercakap dan dia terlajak jadi semua pakat jagalah.

“Jangan ikut rentak pembangkang. Pembangkang akan kata apa saja semua tak betul sebab dia pembangkang...kena ingat, nak bina kerjasama tak susah, tapi nak runtuh tu senang,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak gentar dicabar mana-mana pihak terutama ketika memperjuangkan isu-isu sensitif di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya pihak berkenaan tidak mahu beliau bersuara lantang dalam hal seperti itu, maka beringat untuk tidak sesekali ‘mengusik’ sayap parti itu.

“Kalau takut kena usik, jangan sesekali usik kami dulu.

“Jangan ingat kamu usik kami, kami diam membisu sahaja, orang lain mungkin tetapi bukan kami,” katanya menerusi hantaran di media sosial Facebook miliknya.