Teras pemikiran dominan bina kesepakatan, kestabilan politik

SHAH ALAM - Peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar pemimpin UMNO tidak menimbulkan masalah kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan adalah wajar sebagai teras pemikiran dominan dalam parti-parti komponen kerajaan bagi memberikan persepsi positif kepada masyarakat.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, persepsi yang diterajui oleh satu pemikiran segar ataupun pemikiran teras adalah amat penting dalam membina kesepakatan dalam kestabilan politik dalam negara.

Justeru menurutnya, walaupun terdapat pelbagai isu, ia sepatutnya menjadi satu perbincangan secara dalaman.

“Dalam politik, perbezaan pendapat itu perkara biasa, namun dalam isu kesepakatan gabungan-gabungan parti parti dalam politik, perlu diwujudkan satu persefahaman bagi menunjukkan satu kolaborasi, penyatuan dan corak pemikiran yang sama.

“Ahli politik seharusnya memahami bahawa dalam kepelbagaian isu-isu yang boleh menimbulkan percanggahan pendapat identiti, perbezaan pendekatan, tetapi teras penyatuan itu haruslah berdasarkan satu bentuk penyatuan, kesamaan dan keseragaman corak teras pemikiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy menegaskan, pemimpin politik harus faham bahawa teras utama pemikiran adalah salah satu bentuk gerakan perang saraf yang penting untuk menunjukkan kekuatan parti-parti ke hubungan komponen-komponen parti di dalam gabungan-gabungan tertentu.

“Perbezaan tidak seharusnya diletakkan sebagai satu bentuk persepsi yang memperlihatkan berlaku beberapa percanggahan pendapat,” katanya.