Kenyataan Altimet jauh tersasar - UMNO Selangor

SHAH ALAM - UMNO Selangor menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) negeri itu menuntut kuota lebih bagi jawatan ahli majlis dan ketua kampung seperti didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menggesa Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet supaya menyemak fakta serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan tohmahan dan fitnah.

Menurutnya, kenyataan dikeluarkan Altimet didakwa jauh tersasar daripada kebenaran.

**media[2834365]**

"Saya nak tanya dari mana YB (Yang Berhormat) Altimet dapat maklumat salah mengenai dakwaan kononnya BN Selangor tuntut kuota lebih ahli majlis dan minta semua jawatan ketua kampung?

"Saya sendiri berada dalam majlis rundingan pembahagian kuota tersebut menyaksikan BN tidak pernah meminta kuota lebih kecuali setakat peratusan jumlah 12 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang diberikan sewaktu memasuki PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu sebagai pasukan Kerajaan Perpaduan," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Zaidi berkata, selepas pembentukan kerajaan Selangor, tawaran diberikan Pakatan Harapan (PH) jauh lebih rendah daripada kuota yang sepatutnya BN Selangor terima.

Bagaimanapun katanya, BN Selangor tidak membuat bising dan tidak merebut jawatan berkenaan.

"BN secara baik menyerahkan kembali semua kerusi ahli majlis dan jawatan ketua kampung untuk diisi oleh PH sahaja.

"Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain dengan besar hati membuat pendirian tersebut setelah mendengar pendapat semua ketua bahagian dan ketua sayap negeri demi tidak mengeruhkan hubungan dengan PH Selangor yang baru terjalin," katanya

Ujarnya, sikap PH Johor sama sekali tidak boleh dibuat perbandingan dengan situasi yang berlaku di Selangor susulan kemenangan besar BN dalam PRN Johor lalu bukan melalui kerjasama Kerajaan Perpaduan.

"Oleh itu, ingatan mesra saya kepada YB Altimet, kena faham isu dan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan tohmahan dan fitnah,"' katanya.

Pada Khamis, Altimet menerusi ciapan di aplikasi X menyindir kenyataan dikeluarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkaitan isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Altimet berkata, tuduhan Nur Jazlan terhadap tindakan PH di Johor didakwa pernah dilakukan BN di Selangor.