SHAH ALAM - Biarpun terdapat dakwaan pengundi Cina memboikot calon daripada UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah, namun ia bukan halangan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu.
Dakwaan boikot itu muncul di tengah-tengah isu perbalahan di antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok baru-baru ini berhubung kontroversi penguatkuasaan sijil halal.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar selain itu berkata, kemenangan BN disumbangkan oleh faktor tiada gelombang hijau berlaku di Mahkota seperti terjadi di negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung tanah air termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut beliau, faktor demografi, kerusi campuran dan kebergantungan jentera PN kepada Pas yang agak terbatas di Johor juga memberi kelebihan kepada BN menang dalam PRK DUN Mahkota kali ini.
“Kemenangan calon BN dan PN bergantung kepada pengundi yang berada di 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti pengundi Melayu melebihi 60 peratus, selain undi bukan Melayu di 10 PDM lain,” katanya kepada Sinar Premium di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, BN juga mendapat sedikit bantuan perpindahan undi PN terutama pengundi Melayu yang pernah mengundi Taqiuddin Cheman daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang memperoleh 11,445 undi pada PRN 2022.
Tambahan pula, kebanyakan isu dimainkan pemimpin PN termasuk penyasaran subsidi diesel dan kos sara hidup kurang memberi kesan kepada pengundi dalam PRK DUN Mahkota kali ini.
“Keadaan itu menunjukkan penerimaan pengundi terhadap kempen fizikal dan ceramah umum anjuran PN mahupun BN yang agak sejuk, hambar dan kurang memberi kesan kepada pengundi yang mengalami sindrom keluasan politik.
“Pengundi luar daripada DUN Mahkota pula hanya tertumpu kepada perbalahan Dr Akmal dan Teresa Kok,” katanya.
Tambah Hisommudin, kemenangan besar BN di PRK Mahkota juga menunjukkan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi diterima baik oleh bangsa Johor.
Bagaimanapun, ujar beliau, keputusan kali ini masih belum boleh dijadikan kayu ukur kepada penolakan pengundi terutama orang Melayu terhadap PN terutama Bersatu menjelang PRU16 akan datang.
“Biarpun BN menang PRK DUN Mahkota, namun hampir mustahil UMNO akan bertolak ansur dan tunduk kepada tekanan PH untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Johor, dalam masa terdekat.
“Ini kerana kerajaan negeri Johor dipimpin UMNO sekarang sudah terbentuk selepas BN menang 40 kerusi daripada 56 DUN yang dipertandingkan dalam PRN 2022 dan sebelum mereka menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15 lagi,” ujar beliau.