'Biar 'gentleman', jangan sekat PN kempen di media sosial'

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) meminta kerajaan berlaku adil dengan tidak menyekat kempen yang dilakukan gabungan itu melalui media sosial dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, persaingan secara sihat perlu diwujudkan antara kedua-dua belah pihak kerana penggunaan media sosial ketika kempen mudah menarik minat golongan muda.

"Harapan saya jangan pula nak sekat atau tarik balik (kandungan yang sudah disiarkan). Biar gentleman dan adil. Jawab hujah dengan hujah, jangan gunakan kuasa yang ada.

"Akses untuk internet di daerah ini tidak mempunyai masalah kerana berada di kawasan bandar berbanding PRK Pelengai sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini, pada malam Khamis.

Hadir sama, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Beliau meminta, entera PN perlu meningkatkan kempen menerusi media sosial terutama dalam usaha mendekati pengundi muda yang merupakan lebih separuh daripada 66,318 pengundi di Mahkota.

“Sudah tentulah kehidupan mereka (selalu menggunakan) dengan internet. Sebab itu saya harapkan kempen kita juga dilakukan melalui media sosial berbanding cara konvensional,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40 manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yanh lalu, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung pada 28 September manakala 24 September merupakan hari undi awal.