'Pembangkang hanya boleh cakap, tak boleh beri kelulusan' - Ahmad Maslan

KLUANG - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menanggung kerugian sekiranya memilih calon Perikatan Nasional (PN) sebagai wakil rakyat kerana ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya boleh bersuara tetapi tidak mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan projek kemudahan rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini memandangkan Kerajaan Johor dan Persekutuan diperintah oleh Kerajaan Perpaduan yang dinaungi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Justeru, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu, jika pengundi Mahkota memberi mandat kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, ia akan memudahkan kerajaan negeri dan Pusat untuk membangunkan kawasan itu.

"Pangkahlah calon parti BN supaya tempat ini (Mahkota) lagi maju, tempat ini tidak terganggu, permohonan rakyat boleh sampai terus kepada pegawai daerah, kepada Exco kepada ADUN terus kepada YB kita supaya permohonan beliau diluluskan.

"Ini membuktikan kerajaan mempunyai kuasa, mempunyai kewangan, kerajaan mempunyai jabatan dan kerajaan mempunyai segala kekuatan untuk membangunkan tempat kita ini.

"Apa pembangkang boleh buat? Satu sen pun mereka tak boleh buat apa. Mereka hanya boleh bercakap tapi tak dapat beri kelulusan.

"Berbeza dengan kita, kalau saya cakap lulus, maka luluslah," katanya ketika berucap di Ceramah Kelompok Perpaduan, di sini pada Khamis.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu calon BN Syed Hussien dengan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

-END-