Latih pemimpin UMNO jadi pembangkang - Johari

BENTONG - UMNO selepas ini perlu melatih pemimpin-pemimpin parti itu belajar untuk menjadi pembangkang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan supaya mereka boleh membangkang wakil rakyat di setiap kawasan yang tidak bekerja.

"Kita nak latih pemimpin UMNO jadi pembangkang, asyik menang bila dah kalah jadi tak pandai.

"Jadinya kena belajar baru akhirnya rakyat akan dapat manfaat, good wakil rakyat, good pembangkang," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong (MPB) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang juga mantan Ketua UMNO bahagian terbabit.

Ditanya usaha yang akan dilakukan, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memberitahu, ia bergantung kepada kawasan terlibat.

**media[2718487]**

"Luar bandar macam mana prestijnya, dalam bandar, semi urban, kita bincang secara dalaman tidak payah cerita pada orang," jelasnya.

Tegasnya, UMNO telah menghadapi banyak kekalahan sebelum ini menyebabkan parti itu perlu segera mengenal pasti calon untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan tidak boleh menunggu sehingga hari penamaan atau dua hari sebelum baharu mencari calon.

"Kita kena mulakan fikirkan calon, kerana calon-calon yang dikenal pasti kena kerja untuk masyarakat, tiga tahun lagi kena kerja," tambah Johari lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan aspek 'give and take' merangkumi banyak perkara iaitu dari segi calon, gerak kerja dan kesesuaian kawasan yang ingin ditandingi.

"Ada pemimpin bukan dalam kawasan itu, kalau ada pemimpin bagus dalam kawasan itu dan ia bukan kawasan kita, kita boleh bincang dengan komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan asalkan ada calon bagus... tapi kalau orang tidak suka, anda boleh kalah.

"Jika kawasan kita tiada calon bagus tapi calon lain bagus, kita kena 'give and take'... kena dinamik, jangan ini bukan kawasan kita orang lain tak boleh masuk campur," katanya.

Malah Johari juga memberitahu, parti komponen seperti MCA, MIC sudah mula mengenal pemimpin dan pergi ke kawasan terlibat untuk tunjukkan pemimpin mereka.

Sementara itu, ditanya persediaan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ogos depan, Johari memberitahu parti itu sudah mengenal pasti calon mereka yang berlatarbelakang kumpulan Islam yang kuat dengan latar belakang kawasan serta sebagainya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!