'UMNO sudah diterima, 98 peratus bersih daripada semua isu'

KOTA BHARU - UMNO Kelantan bersedia meletakkan calonnya bertanding pilihan raya kecil (PRK) jika sudah sah kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan.

Ketua UMNO negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, kesiapsiagaan UMNO kini dilihat lebih tinggi untuk mencapai kemenangan di tiga kawasan berkenaan.

Beliau turut positif Kerajaan Perpaduan akan memberi laluan kepada parti itu bertanding di semua kawasan yang sedang 'bergolak' itu.

"Saya yakin UMNO sudah diterima kerana 98 peratus bersih daripada semua isu bermasalah kerana yang tidak bersih sudah melompat ke parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Kesedar pada Isnin.

**media[2684855]**

Hadir sama, Pengurus Besar Kesedar, W Muhd Rahimi W Salleh.

Zawawi memberitahu, UMNO baru sahaja selesai menganjurkan Konvensyen Barisan Nasional dua hari lepas dan mendapat maklum balas terbaik selepas ramai yang memberi sokongan kepada parti.

"Rakyat sudah dapat menilai sendiri selepas banyak isu berlaku pada pentadbiran parti lain sebelum ini.

"Bagaimanapun UMNO banyak merancang dan memberi peluang kepada kesejahteraan rakyat," katanya.

Dalam pada itu Zawawi memberitahu, akan menghantar penyokong pada PRK Sungai Bakap jika dibenarkan berkempen.

"Kita akan tengok sama ada boleh berkempen atau sebaliknya bagi mengelakkan kerugian masa dan kewangan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai