PORT DICKSON – Enggan menunggu lama untuk mengundi seperti yang dialami pada PRU14 lalu menyebabkan beberapa pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson memilih untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka.
Keadaan cuaca mendung dan sedikit hujan tidak menghalang mereka untuk berada seawal 7.30 pagi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah, Chuah di sini bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
Seorang pengundi Datuk Lee Tian Hock berkata beliau hadir untuk mengundi awal kerana serik menunggu lama seperti yang dialami pada PRU14 lalu.
Ahli perniagaan berusia 60 itu kali ini berasa lebih gembira kerana hanya menunggu beberapa minit dan menjadi pengundi pertama menunaikan tanggungjawabnya di pusat pengundian ini.
“Saya tinggal di Seremban tetapi saya memilih datang awal ke sini kerana mahu cepat mengundi dan kemudian boleh minum kopi bersama kawan-kawan,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah, Chuah, di sini, hari ini.
Walaupun baru sahaja mengundi pada PRU14, 9 Mei lepas, beliau tetap berasa gembira dan teruja untuk mengundi sekali lagi memandangkan ia soal menentukan seorang wakil rakyat yang dapat membantu meningkatkan pembangunan Port Dickson.
Juhadi Sukadis, 66, pula yang pernah menjadi pengundi yang terakhir di kawasan itu pada pilihan raya umum yang lepas, tidak mahu pengalaman mengundi pada saat terakhir berulang lagi.
“Pada PRU lalu lebih kurang tiga minit sebelum pusat mengundi ditutup saya mengundi, saya sangat kecewa sebab itu saya pilih datang awal kali ini,” katanya yang hadir ditemani isteri Norhayati Miskam.
Juhadi yang menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan sebab pilihan raya kecil itu diadakan, bagaimana pun menegaskan beliau tetap mengundi kerana merasakan ia adalah hak dan tanggungjawabnya sebagai rakyat.
Seorang lagi pengundi S.Saravanan, pula memilih keluar mengundi awal kerana perlu berkerja selepas itu.
Gembira dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, pemandu lori berusia 39 tahun itu berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat memberikan fokus kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan pendidikan seperti sekolah.
PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). - Bernama