BAGI kami petugas media yang mengikuti rapat proses perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir malam tadi, Pengkalan Batu adalah antara Dewan Undangan Negeri (DUN) yang paling mencuri tumpuan.
Apa tidaknya, ADUN Pengkalan Batu sebelum ini, Datuk Norhizam Hassan Baktee adalah salah seorang daripada empat ADUN yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang sehingga menyebabkan Tuan Yang Terutama (TYT) Melaka membubarkan DUN pada 4 Oktober lalu.
Tidak dicalonkan dalam PRN oleh mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH) yang pernah dianggotainya melalui DAP, Norhizam yang juga dikenali dengan jolokan YB Viral itu bertindak nekad bertanding atas tiket Bebas untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU-14 lalu.
Di DUN itu juga tercatat rekod apabila ditandingi calon paling tua dari UMNO yang menurunkan Setiausaha Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Nordin yang berusia 68 tahun.
PRN Melaka merupakan penampilan pertama Kalsom dalam pilihan raya walaupun beliau yang juga mesra disapa dengan panggilan "Kak Som" itu cukup senior dalam arena politik khususnya di Melaka.
Secara relatif, 68 tahun bukanlah usia yang tua dalam arena politik. Kita ada bekas Perdana Menteri berusia 96 tahun yang sehingga kini masih aktif berpolitik, malah pimpinan-pimpinan parti utama di negara ini rata-rata melewati usia 70 tahun.
Namun disebabkan di sana ada calon termuda yang berusia seawal 21 tahun lewat penampilan bersejarah Farzana Hayani di DUN Sungai Rambai mewakili Pakatan Harapan, maka barangkali perbandingan usia itu dibuat - secara ringan.
Dan malam tadi Pengkalan Batu sekali lagi jadi tumpuan apabila DUN itu jadi DUN terakhir mengumumkan keputusan undian PRN selepas 27 DUN lain sudah pun ada keputusan rasminya.
Lewati jam 11 malam
Dalam tempoh-tempoh awal proses pengiraan undi, khabar-khabar tidak rasmi mengatakan calon muda PH dari DAP, Muhamad Danish Zainudin yang berusia 25 tahun memenangi DUN tersebut.
Ia kedengaran tidak menghairankan berdasarkan rekod parti itu yang memenangi kerusi tersebut sejak tiga Pilihan Raya Umum (PRU) lalu termasuk yang terakhir menerusi Norhizam.
Namun perkhabaran rasmi dari SPR yang tidak kunjung tiba agak meresahkan walaupun Barisan Nasional (BN) telah pun membentuk kerajaan baru negeri Melaka dengan cukup bergaya melalui kemenangan di 20 kerusi, jauh mengatasi PH yang hanya menang lima kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) yang menang dua kerusi.
Melewati jam 11 malam, keputusan rasmi SPR belum keluar di laman webnya.
Namun tidak lama selepas itu, keputusan rasmi keluar juga akhirnya. Tanpa disangka, Kak Som menang walaupun dengan majoriti tipis 131 undi, menyumbang kerusi ke-21 kepada BN.
Beliau memperolehi 4,839 undi manakala Danish yang disebut-sebut sebagai pemenang sebelum ini hanya memperoleh 4,708 undi untuk berada satu kedudukan di belakangnya.
Undian Norhizam tidak mengecewakan apabila walaupun bertanding atas tiket Bebas, mampu mendapat 1,218 undian - satu angka yang dikira tinggi bagi seorang calon yang tidak berparti.
Calon PN, Mohd Azrudin Md Idris mendapat 2,681 undi manakala seorang lagi calon, Mohd Aluwi Sari yang mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hanya mendapat 82 undi.