Pas pertaruh 24 calon veteran tentera

KOTA SARANG SEMUT - Anggota tentera diharapkan memberi undi kepada Pas berikutan parti Islam untuk menampilkan 24 calon Pas terdiri dari veteran tentera dalam PRU14 demi membolehkan hak mereka diperjuangkan.

Presiden Kelab Kebajikan Rangkaian Veteran dan Bekas Angkatan Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, Pas meletakkan 24 calon berbanding hanya empat pada PRU lepas.

Beliau berkata, seramai 10 veteran tentera dipilih untuk bertanding sebagai calon Pas bagi kerusi Parlimen, sementara 14 lagi terpilih untuk berentap di Dun.

“Dengan ini, kita menggesa rakyat terutamanya veteran, isteri dan anggota tentera memberi sokongan kepada calon berkenaan, memandangkan golongan inilah membawa aspirasi tentera.

“Jikalau diberi mandat, veteran tentera yang menjadi calon PRU inilah akan bercakap di Parlimen sebagai pembawa dasar dan perubahan yang membawa kebaikan kepada tentera,” katanya dalam Sidang Media PRU14 di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di sini, siang tadi.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi; calon Parlimen Jerai, Mohd Sabri Azit; calon Dun Sungai Limau, Mohd Azam Samat dan calon Dun Guar Chempedak, Mussodak Ahmad.

Menurutnya, pihaknya mendapati Pas merupakan satu-satunya parti yang memiliki calon veteran tentera yang banyak untuk bertanding dalam PRU14.

“Setakat ini, tiada parti lain yang mencalonkan veteran tentera seperti Pas. Jadi, kira harap anggota tentera dapat mengundi parti itu dalam PRU ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan bandar baharu veteran akan dilaksanakan jika Pas diberi mandat dalam PRU14 kerana memiliki calon yang boleh bersuara berkaitan hal itu.

Tambahnya, Pas juga memiliki tawaran baik untuk memperjuangkan hak golongan itu, antaranya 5,000 ke 10,000 unit rumah kepada veteran dan balunya.

Di Kedah, Pas meletakkan bekas pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Datuk Najmi Ahmad dan pesara tentera, Mejar (B) Mansor Zakaria, 49, di Dun Kuala Ketil.

Mohd Nazari MokhtarAhmad Fakhruddin Sheikh FakhruraziPAS