SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan dunia politik meskipun kini dilihat kurang menonjol dalam memberi pandangan mahupun mengulas isu semasa.
Malah beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera selain kekal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
“Saya tidak meninggalkan terus dunia politik. Ada yang ingat saya sudah tidak aktif tetapi saya masih lagi Ketua UMNO bahagian.
“Sewaktu saya sebagai Perdana Menteri, waktu amat terhad di Bera. Jadi bila sudah tiada jawatan penting, saya perlu beri perhatian ke kawasan kerana yang jadikan saya hingga ke tahap ini adalah pengundi di Bera,” katanya dalam program Interviu Sinar Harian, pada Selasa.
Pada 2023, Ismail Sabri yang menyandang jawatan Naib Presiden UMNO sejak 20 Disember 2018 tidak mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti bagi sesi 2023 hingga 2026.
Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam reaksinya berkata, keputusan tersebut mungkin kerana bekas Perdana Menteri sudah sampai puncak karier politiknya.
Dalam pada itu Ismail Sabri menegaskan, beliau masih setia bersama UMNO dan berpegang kepada prinsip perjuangannya sejak kali pertama memasuki dunia politik meskipun tidak menjawat jawatan penting dalam parti.
“Walaupun sudah tidak berada di jawatan utama, saya masih kekal setia dengan parti walaupun orang kata hanya saya yang sayang pada parti.
“Kalau saya lompat ke parti lain, bila-bila masa sahaja (boleh) sebab ramai yang mahu saya sertai mereka.
“Prinsip saya jelas, saya akan terus menyokong, mahu kekal dalam UMNO walaupun pelbagai cabaran dihadapi,” ujarnya.