DHPP lebih 'gentleman’ daripada Gerakan - Perwakilan Pas Pulau Pinang

ALOR SETAR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) disifatkan lebih berjiwa besar dan berprinsip berbanding Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), khususnya dalam soal pembahagian kerusi di Pulau Pinang.

Perwakilan Pas Pulau Pinang, Muhammad Hafis Alias berkata, walaupun Pas dan Bersatu memenangi tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kepimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri yang diterajui Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, didakwa tidak memberi perhatian sewajarnya kepada wakil rakyat daripada kedua-dua parti berkenaan.

“Kami nak mengacum (mengadu) sikit dalam muktamar kali ini, mengadu hal kepada ALLAH, kepada kepimpinan dan semua yang hadir. Pengerusi PN Pulau Pinang langsung tidak peduli tentang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Bersatu,” katanya ketika sesi perbahasan Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Isnin.

Beliau turut menegaskan kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu-Islam wajar ditandingi oleh calon Pas memandangkan kekuatan jentera dan sokongan akar umbi yang terbukti sejak sekian lama.

“Di Bayan Lepas, jentera Pas sangat kuat sejak 2008. Kita pernah kalah tipis dengan 300 undi sahaja. Ini bukan isu calon, tetapi isu wakil Melayu-Islam di kawasan Melayu-Islam,” ujarnya.

Beliau menyifatkan tindakan Gerakan bertanding di kawasan majoriti Melayu sebagai tidak wajar, dan menyeru agar kepimpinan pusat mempertimbangkan semula pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam pada itu, Muhammad Hafis memuji keberanian calon-calon DHPP yang bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, berbanding Gerakan yang didakwa tidak menunjukkan semangat yang sama.

“Saudara Jaya Rahman bertanding di kawasan majoriti India, Andrew Teo di kawasan majoriti Cina, Stephen Koh di Parlimen Bukit Mertajam. Sahabat-sahabat DHPP lebih gentleman daripada Gerakan, betul atau tidak?” katanya disambut sorakan perwakilan.

Beliau turut membangkitkan isu pemilihan ahli jawatankuasa masjid di Pulau Pinang yang didakwa dipengaruhi oleh campur tangan politik.

“Pemilihan ini seolah-olah menyekat golongan yang mengimarahkan masjid, terutama mereka yang berjawatan politik dalam parti Islam. Bila orang Pas kerap ke masjid, sudah tentu mereka dipilih. Tetapi nampaknya ada usaha menyekat,” katanya lagi.

Muhammad Hafis mendakwa sistem pemilihan yang dikawal tersebut menafikan hak anak kariah untuk menentukan kepimpinan masjid, dan menyifatkan ia sebagai pencabulan terhadap prinsip demokrasi di institusi agama.