BUKIT MERTAJAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak sama sekali gentar berdepan pertuduhan di mahkamah berhubung isu Jalur Gemilang yang dikaitkan dengannya.
Menurutnya, beliau bersedia memikul sepenuhnya tanggungjawab dan yakin tuduhan yang dikenakan tidak berasas.
"Saya akan ambil tanggungjawab sepenuhnya dan tidak takut untuk menghadapi perbicaraan.
"Ini bukan soal politik atau perkauman, tetapi soal maruah Jalur Gemilang kita," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan penyokong yang hadir memberikan solidariti di luar mahkamah di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa mendatangkan kegusaran awam.
Beliau membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguamnya serta kepimpinan UMNO termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang tidak putus memberi sokongan.
Beliau yakin isu berkenaan akan menjadi titik tolak kebangkitan rakyat untuk bersama mempertahankan lambang negara.
"Mungkin ada yang anggap ini isu kecil, tapi lambang negara bukan perkara kecil.
"Ia adalah maruah kita semua sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal menyeru rakyat Malaysia agar berani menegur sebarang kesalahan tanpa rasa takut meskipun berdepan risiko dikenakan tindakan.
“Kalau tuduhan yang dikenakan kepada saya ini bertujuan menakut-nakutkan rakyat, percayalah saya sanggup tanggung segalanya.
"Ini bukan negara saya seorang, negara ini bukan milik orang Melayu atau Cina sahaja, tetapi negara kita semua," katanya lagi.
Sementara itu, peguamnya, Aizat Azam berkata, pasukan peguam bela berpendapat pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya pada hari ini sangat tidak kukuh
"Kita akan meneliti daripada seluruh aspek undang-undang untuk kita memastikan keadilan dapat dibuktikan dan kita dapat membantu YB Dr Akmal untuk membuktikan apa yang diperjuangkan oleh beliau adalah bukan satu kesalahan," katanya.