SHAH ALAM - Perhimpunan Solidariti Demi Najib yang diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin, dengan kehadiran ribuan penyokong mencerminkan semangat perpaduan dan keazaman yang kukuh merentasi pelbagai parti politik.
Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Nazifuddin Najib berkata, beliau berterima kasih kepada penyokong tanpa mengira kaum dan fahaman politik yang datang ke Putrajaya untuk memberi sokongan padu kepada bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu, walaupun terdapat halangan termasuk sekatan terhadap bas yang membawa penyokong, komitmen penyokong Najib tetap teguh tidak runtuh.
"Justeru saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu yang telah diberikan dalam usaha menegakkan kebenaran dan keadilan untuk ayahanda saya.
"Kehadiran dan sokongan moral daripada pelbagai parti politik termasuk UMNO, Pas, MN, Makkal Sakti dan parti-parti lain amat kami hargai.
"Solidariti ini bukan sahaja memberi harapan kepada keluarga kami, tetapi juga mengukuhkan prinsip keadilan yang menjadi teras negara kita," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya pada Selasa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan lebih 800 individu hadir di pekarangan Istana Kehakiman di sini bagi memberi sokongan terhadap Najib.
Sehingga jam 10 pagi, pihak polis menganggarkan seramai hampir 600 orang memenuhi bahagian belakang manakala hampir 300 orang memenuhi sudut kanan bangunan Istana Kehakiman.