Ahli Warisan dilarang sertai himpunan Gempur Rasuah esok

KOTA KINABALU - Ahli Parti Warisan (Warisan) diberi amaran untuk tidak menyertai perhimpunan membantah rasuah atas kapasiti parti itu yang dianjurkan oleh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman dalam kenyataan yang dikongsikan dalam Facebook rasmi beliau pada Isnin.

"Parti Warisan mengambil maklum mengenai perarakan demonstrasi membantah rasuah yang dianjurkan oleh mahasiswa pada 31 Disember 2024.

"Ahli parti Warisan tidak dibenarkan menyertai perarakan ini atas kapasiti sebagai ahli parti dan penggunaan logo parti Warisan adalah dilarang sama sekali," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azis berkata, Warisan kekal konsistan malah komited menentang rasuah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Sekretariat Perhimpinan Amam Gempur Rasuah Sabah menerusi kenyataan medianya akan mengambil tindakan saman terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun susulan kenyataannya yang telah menimbulkan kekeliruan kepada awam berhubung perhimpunan tersebut.

"Perhimpunan tersebut akan tetap diteruskan selaras dengan Perkara (10) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan dan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun.

"Datuk Jauteh Dikun sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dilihat naif dalam mendalami undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan dan pesanan Ketua Polis Negara, IGP Tan Sri Razarudin Husain pada 4 Mac 2024 iaitu 'perhimpunan aman tidak perlu permit, mungkin polis tersilap cakap'.

"Kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah ini tidak berperlembagaan. Kami menasihati Pesuruhjaya Polis Sabah untuk melakukan semakan fakta terlebih dahulu dan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan kepada pengamal media.

"Pihak sekretariat akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang (saman) terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah kerana telah menimbulkan kekeliruan kepada awam," katanya.

Sehubungan itu, sekretariat tersebut memaklumkan bahawa Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah akan tetap berjalan seperti yang dirancang.

Sebelum itu, Jauteh dalam sidang akhbarnya berkata, permohonan untuk mengadakan perhimpunan yang dirancang berlangsung di hadapan Menara Kinabalu, pada petang Selasa telah ditolak.