CDF disalur secara bagi terus laksana projek rakyat - Azalina

KUALA LUMPUR - Peruntukan pembangunan kawasan (CDF) parlimen pembangkang akan disalurkan secara terus melalui Pejabat Pembangunan Negeri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk pelaksanaan projek rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan amat menyedari kepentingan untuk memastikan pengagihan CDF dilaksanakan dengan adil dan saksama kepada semua ahli Parlimen.

“Namun, perkara ini akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

“Dalam hal ini, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM memberikan perhatian berkenaan cadangan tersebut dan akan membawa perkara itu,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

**media[2922458]**

Azalina menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pelan kerajaan bagi mewujudkan CDF yang saksama merentasi parti politik seperti mana dalam janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan agar CDF dikanunkan bagi mengatasi masalah berat sebelah dalam pemberian dana mengikut kawasan parlimen.

Pengurus Kanan, Advokasi dan Program IDEAS, Aira Azhari berkata, ia perlu dilaksanakan segera kerana dikhuatiri akan berulang pada masa akan datang.