SHAH ALAM - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sah dilantik sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi parti itu.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, Majlis Tertinggi (MT) PN menerima pelantikan tersebut pada malam Isnin.
“Terima kasih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk membantu memperkukuhkan parti.
“Saya akan menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan sedaya upaya saya bersama pasukan PN di semua peringkat. Maju bersama PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
**media[2922406]**
Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang dilaporkan sempat menolak tawaran bagi jawatan tersebut berikutan mahu fokus kepada PN Selangor diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Rentetan itu, bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam program Interviu bersama Sinar Harian baru-baru ini menjelaskan, tawaran dibuat setelah meneliti semua aspek termasuk sama ada Mohamed Azmin layak untuk memegang jawatan berkenaan.
Sementera itu, Mohamed Azmin berkata, mesyuarat MT turut mengesahkan pelantikan Datuk Mas Ermieyati sebagai Ketua Wanita PN dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik Ketua Penerangan PN.
“Bersatu menamakan tiga pemimpin untuk menganggotai MT PN selaras dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi.
“Manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota MT PN,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Mohamed Azmin, mesyuarat turut memutuskan bahawa parti itu akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sabah yang bakal diadakan selewat-lewatnya pada November 2025.
“Mesyuarat MT membincangkan dan mengambil maklum perkembangan politik semasa di Sabah dan mengambil ketetapan tersebut.
“PN Sabah diberikan tanggungjawab untuk membuat persiapan dan perbincangan dalam merangka strategi bagi membentuk kerajaan baharu di negeri berkenaan.
“MT juga menerima penubuhan Jabatan Dasar dan Strategi yang berperanan dalam semua isu-isu strategik dan pelan tindakan serta bertanggungjawab terhadap kaji selidik berkaitan isu semasa negara,” katanya.
Berikut senarai Ahli MT PN yang baharu:
Pengerusi: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Pengerusi:
1. Tan Sri Abdul Hadi Awang
2. Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
3. Punithan Paramsiven
4. Datuk Seri Hamzah Zainudin
Setiausaha Agung: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Ketua Penerangan: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Bendahari Agung: Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Timbalan Setiausaha Agung: Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Ketua Wanita: Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pemuda: Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Pengarah Pilihan Raya: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Ahli Majlis Tertinggi:
1. Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
2. Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
3. Oh Tong Keong
4. Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
5. Datuk Idris Ahmad
6. Loh Kah Yong
7. Subramaniam Surunaryan
8. Manimaran Kanappram