PRN Sabah: PH Sabah selesaikan perbincangan dalaman sebelum mulakan kerjasama

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah akan menyelesaikan perbincangan dalaman antara parti komponen mereka terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), PH sudah pun membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi antara parti.

"PH telahpun mengadakan beberapa siri mesyuarat dan PH Sabah akan menyelesaikan dulu perbincangan serta rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.

"Dalam proses rundingan nanti, PKR ingin menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil.

"Perbincangan juga perlu meliputi pembahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, kuota pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jawatan-jawatan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung dan komuniti," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, PKR Sabah mengalu-alukan cadangan jawatankuasa rundingan kerusi PRN17 yang diutarakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini dalam usaha mengukuhkan kerjasama baik dan kestabilan politik sedia ada.

"Semalam juga pihak PH dan Barisan Nasional (BN) telah mengadakan perbincangan tidak rasmi untuk meneliti titik-titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung.

"Bagaimanapun, PKR ingin menegaskan bahawa prinsip asas kerjasama ini perlu didasari oleh pengurusan tatakelola yang baik dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat diutamakan," katanya.

Namun dalam masa sama, Mustapha berkata, PKR Sabah terbuka untuk meneroka ruang kerjasama dalam usaha memperkukuhkan kerajaan Madani dalam menghadapi PRN yang dijangka akan diadakan tahun hadapan.