Amalan demokrasi Bersatu makin pudar?

SHAH ALAM - Keputusan pemilihan jawatan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diumumkan pada Isnin tidak memberi impak besar dari segi dasar dan hala tuju parti itu pada masa depan.

Keputusan mengekalkan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan mengangkat Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Timbalan Presiden bukan satu perubahan besar, namun sekadar pelengkap sahaja.

Malah, pengekalan dua penyandang Naib Presiden sedia ada iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta kemenangan bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau ‘Peja’ selari dengan pelan kompromi asal dikemukakan Muhyiddin sebelum ini.

Selain itu, antara nama besar yang mendapat tempat dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Manakala bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Roslan Hashim dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang sebelum ini menang Ketua Bersatu Port Dickson ialah antara mereka yang tewas dalam pemilihan kali ini.

**media[2876190]**

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keputusan itu juga kelihatan seperti dirancang lebih awal susulan kenyataan Muhyiddin yang jelas mahu ‘Peja’ dipilih sebagai Naib Presiden sebagai kompromi selepas beliau memberi laluan kepada Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Mohammad Tawfik berkata, keputusan berkenaan bukan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kem pemimpin yang kalah, malah menunjukkan amalan demokrasi semakin ‘mati’ dalam Bersatu.

“Ini bukan demokrasi dalam parti tetapi ‘democrazy’ dengan hanya menyusun dan mengatur siapa patut dapat jawatan apa, lebih memalukan secara terbuka pula dengan ‘petua’ mengatur pemimpin patut duduk di posisi mana.

"Lebih baik tukar nama parti sebagai Parti Muhyidin dan Hamzah Sdn Bhd saja,” katanya kepada Sinar Premium.

Kata Mohammad Tawfik, keputusan berkenaan juga dilihat dikuasai kumpulan pro Hamzah kerana hanya sebahagian kecil pemimpin kem Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang menang jawatan MPT termasuklah Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Dr Afif Bahardin dan Muhammad Hilman Idham (Ketua Armada Bersatu).

Bagaimanapun, Mohammad Tawfik menegaskan kem penyokong Azmin akan terus bertahan dalam Bersatu sekiranya Muhyiddin mengotakan janjinya untuk melantik bekas Menteri Besar dan Pengerusi PN Selangor itu sebagai Setiausaha Agung parti menggantikan Hamzah yang kini dinaikkan pangkat selaku Timbalan Presiden.

“Saya lihat kem Azmin hanya boleh bertahan selagi mana ada Muhyidin sahaja, malah dengan kekalahan besar mantan Ahli Parlimen Gombak berkenaan memang sudah dijangka lebih awal.

“Justeru itu saya menjangkakan ada pemimpin pro Azmin mungkin akan mencari platform baru untuk berpaut menjelang PRU16 akan datang namun mereka tidak mungkin melompat semula ke PKR, sebaliknya menyertai parti lain dalam gabungan Kerajaan Madani,” katanya.