Kemampuan Gibran galas tugas naib presiden termuda

AHAD lalu, Prabowo Subianto secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia.

Di sebalik momen bersejarah itu, nama Gibran Rakabuming Raka turut menjadi sorotan selaku Naib Presiden Indonesia ke-14, sekali gus yang termuda pernah dilantik ke jawatan tersebut.

Menariknya, perjalanan Gibran, 37, yang juga anak sulung bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi) menjadi Naib Presiden Indonesia disulami kontroversi hingga berlakunya protes dalam kalangan warganegara itu.

Gibran sebenarnya belum memenuhi syarat umur pencalonan sebagai naib presiden namun susulan perubahan undang-undang pemilihan umum (Pemilu) yang digugat melalui Mahkamah Konstitusi, di mana hakim ketika itu ialah bapa saudaranya sendiri telah menyaksikan syarat umur pencalonan diturunkan.

**media[2858254]**

Hal tersebut mewujudkan polemik bahawa ia adalah bentuk dinasti politik yang dipersetujui dan dijalankan oleh Jokowi secara tidak langsung.

Apa pun, Gibran akhirnya berjaya memposisi dirinya dalam Kabinet Merah Putih diketuai Prabowo untuk tempoh lima tahun akan datang.

Namun sejauh mana beliau mampu menggalas cabaran tugas baharunya pada usia muda selain mencipta legasi politiknya sendiri.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli mengakui Gibran mungkin berdepan cabaran dalam menjalani tugas disebabkan usianya yang masih muda.

**media[2858230]**

“Pengkritik mungkin berhujah Gibran kurang kematangan dan pengalaman politik yang diperlukan untuk menangani kerumitan pentadbiran negara.

“Bagaimanapun, penyokong beliau mungkin menekankan pengalaman kepemimpinannya sebagai bekas Datuk Bandar Surakarta dan potensinya untuk membawa perspektif dan tenaga baharu ke dalam peranan itu,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah Mohd Yazid, kelebihan usia muda Gibran juga mungkin boleh menarik minat pengundi muda yang mahukan arus perubahan.

Dalam pada itu, berhubung membina karier politik atas nama sendiri, Mohd Yazid berpendapat, Gibran mungkin agak sukar melepaskan diri daripada pengaruh signifikan bapanya serta Prabowo sendiri.

“Gibran mungkin dilihat mendapat manfaat daripada legasi politik bapanya. Tidak kurang juga ramai beranggapan kenaikannya dalam politik adalah disebabkan pengaruh besar Jokowi berbanding pencapaiannya sendiri.

“Hal ini boleh menyukarkan Gibran membina identiti sendiri dalam politik.

“Pada masa sama, penyokong Jokowi juga mungkin melihat Gibran sebagai penerus dasar-dasar bapanya, sekali gus boleh memberinya kelebihan politik,” katanya.

Mohd Yazid berkata, karakter Prabowo sebagai seorang ahli politik veteran mungkin membayangi Gibran dalam kerjasama mereka berdua.

“Pengalaman luas ditambah pula personaliti dominan Prabowo mungkin menyebabkan Gibran dilihat sekadar memainkan peranan side kick, terutama kerana beliau masih agak muda dalam politik.

“Akhirnya, keupayaan Gibran untuk keluar daripada bayangan dua figura politik ini bergantung kepada sejauh mana beliau dapat membina kepimpinan dan visinya sendiri,” katanya.

**media[2858251]**

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, pemimpin muda boleh mengemudi tampuk pemerintahan negara sekiranya Malaysia mengubah minda dan menyediakan lebih banyak peluang untuk golongan itu berkembang dalam politik.

“Negara berdepan beberapa cabaran dalam melahirkan pemimpin muda seperti Gibran, antaranya sistem politik yang mengutamakan senioriti dan ini mengehadkan peluang bagi golongan muda.

“Golongan muda juga sering dilihat kurang pengalaman dan pendedahan yang diperlukan untuk bersaing dengan ahli politik lebih senior.

“Ini kemudian mewujudkan skeptisisme terhadap kepimpinan golongan muda dengan ramai percaya bahawa kepimpinan datang dengan usia,” katanya.

TUMPU TUGAS PENTADBIRAN

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik, Ekonomi Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr OK Mohammad Fajar Ikhsan berkata, secara perlembagaan, tiada cabaran besar untuk Gibran menggalas tugas Naib Presiden Indonesia.

**media[2858252]**

“Di Indonesia, sistem politik dan birokrasi tidak sepenuhnya tertumpu kepada peranan naib presiden.

“Tugas Gibran kebanyakannya hanya tertumpu kepada tugas pentadbiran umum diikuti dengan protokol serta prosedur sedia ada termasuk menggantikan Prabowo sekiranya beliau tidak dapat hadir ke sebarang majlis.

“Gibran juga akan dibantu barisan menteri dan timbalan menteri dalam melaksanakan tugas beliau,” katanya.

Jelas OK Mohammad Fajar, walaupun peranan Gibran sebagai Naib Presiden Indonesia dilihat tidak sebesar peranan Prabowo namun anak muda itu masih boleh mencorak arah politiknya.

“Dari awal kempen Pemilu, memang terlihat Jokowi berada di sebalik tabir Gibran secara tidak langsung namun dengan pengalaman bergelar ahli politik sebelum ini, Gibran masih berpeluang menentukan arah politik tanpa bergantung kepada Jokowi.

“Bagaimanapun sudah pasti Gibran akan meminta nasihat politik daripada Jokowi terutamanya dalam mengambil keputusan politik yang strategik,” katanya.

Di satu sudut berbeza, walaupun peranan Gibran sebagai naib presiden dianggap kurang signifikan namun harus diakui untuk berada di posisi kedua tertinggi pentadbiran sebuah negara tetap satu pencapaian besar.