Cabaran Bersatu kekal teraju PN, calon PM PRU16

MENCAPAI usia lapan tahun penubuhan parti, pemilihan jawatan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pastinya menjadi tumpuan utama lebih 600,000 ahli dan keseluruhan rakyat negara ini.

Bermula dari debu serpihan UMNO, Bersatu dalam tempoh masa singkat bukan sahaja berjaya memposisikan diri sebagai parti kerajaan bersama Pakatan Harapan 1.0 dan Perikatan Nasional (PN), bahkan dianggap parti Melayu kedua dominan selepas rakan koalisi, Pas.

Justeru, tidak hairan teraju blok pembangkang itu kini diselubungi aura pemilihan parti bermula 26 September ini bagi menentukan penyandang beberapa jawatan tertinggi parti itu.

Antara jawatan yang menyaksikan persaingan sengit ialah Naib Presiden, Ketua Armada dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menariknya pada pemilihan kali ini, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menang tanpa bertanding turut mengemukakan ‘pelan kompromi’ dan direstui MPT bertujuan mengelakkan perpecahan dalaman parti.

Pelan kompromi peralihan jawatan kepimpinan itu melibatkan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendapat restu memegang jawatan Timbalan Presiden; Ketua Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung) dan penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Naib Presiden).

**media[2858262]**

Bagaimanapun, pelan kompromi itu tidak dianggap sebilangan pemerhati politik sebagai kunci penyelesaian terhadap kewujudan dua kem antara kumpulan Hamzah dan Mohamed Azmin yang ketara bersaing di setiap jawatan utama.

Bahkan ada sumber dalaman Bersatu mengunjurkan Ahmad Faizal atau Peja yang kini tidak bergelar wakil rakyat, berkemungkinan menjadi ‘mangsa korban’ dalam persaingan sengit di antara dua tokoh utama parti berkenaan.

Hal ini susulan terdapat dakwaan kem Hamzah dan Mohamed Azmin meletakkan proksi dalam persaingan jawatan Naib Presiden yang secara jelas sedang didahului dua penyandangnya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Bagi seorang calon MPT Bersatu, Fathul Huzir Ayob, beliau secara peribadi berpandangan pelan transisi peralihan jawatan dicadangkan Muhyiddin sebagai menghargai jasa Peja yang telah lama berjuang bersama parti sebagai pemimpin asal.

“Pelan transisi itu juga memberi isyarat bahawa Peja sangat perlu diberi keutamaan oleh perwakilan untuk dikekalkan susulan Muhyiddin sudah selesa dan telah lama bekerja dengan beliau,” kata Ahli Parlimen Gerik itu kepada Sinar Premium.

Penyandang MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula berpandangan pelan penggantian diilhamkan Muhyiddin amat signifikan kerana ia menjamin suhu pemilihan tidak terlalu panas.

Tambahnya, pelan itu memberi gambaran keperluan Bersatu kekal kepada fokus memenangi pilihan raya dengan keperluan menggabungkan semua bakat yang ada dalam satu pasukan mantap.

“Sebab itulah walaupun saya sebelum ini mempertimbangkan penawaran diri bertanding jawatan Naib Presiden, saya terus mengubah pendirian sebaik sahaja Presiden (Muhyiddin) membuat pengumuman,” jelasnya.

Di sebalik teka-teki siapa paling layak menduduki jawatan tertinggi Naib Presiden, MPT dan Ketua Armada, Fathul Huzir mencadangkan mana-mana calon berstatus wakil rakyat, sama ada ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), seharusnya diberi keutamaan memegang jawatan penting peringkat pusat.

Ujarnya, ini signifikan bagi membolehkan mereka menterjemahkan hasil mesyuarat, dasar atau sebarang keputusan parti ke peringkat tertinggi negara seperti sidang Parlimen dan DUN.

“Keutamaan perwakilan juga harus diberikan kepada wakil rakyat kerana calon ahli MPT berstatus ADUN lebih sesuai dilantik sebagai pengerusi atau Ketua Badan Pimpinan Negeri,” ujarnya.

Bagi Wan Saiful dan calon Naib Presiden, Mohd Rafiq Mohd Abdullah pula, mereka tidak menganggap status wakil rakyat memberi sebarang kelebihan kepada mana-mana calon pada pemilihan penggal 2024-2027.

Kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, status sebagai wakil rakyat belum tentu boleh memastikan seseorang itu sesuai menjadi pemimpin tertinggi parti.

“Paling penting untuk perwakilan Bersatu memilih pemimpin yang konsisten berkhidmat untuk rakyat dan parti sepanjang masa, bukan sekadar ‘hiperaktif’ hanya pada musim kempen pemilihan dan pilihan raya,” tegas Wan Saiful.

Mohd Rafiq yang juga Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Selangor pula berpendapat tiada guna mana-mana calon bergelar wakil rakyat jika kelibat dan perkhidmatan mereka tidak dirasai akar umbi dan rakyat.

CAI KEM TERTENTU

Menyelami kehangatan pemilihan Bersatu pada 26 Oktober dan 2 November ini, Fathul Huzir mengakui proses pengedaran cai kepimpinan kem tertentu berkemungkinan akan tetap berlaku.

Namun begitu, beliau yakin edaran cai berkenaan tidak begitu mempengaruhi pertimbangan perwakilan memandangkan proses pemilihan kali ini sangat penting dan dilihat medan sebenar menguji ketegasan mereka dalam menentukan hala tuju dan corak kepimpinan Bersatu.

“Saya percaya perwakilan Bersatu mengharapkan perubahan besar dalam kepimpinan parti di mana tokoh-tokoh berpengalaman, bijaksana, muda dan segar perlu menjadi keutamaan bagi menarik sokongan pengundi dan akar umbi.

“Ini penting agar Bersatu akan terus mendapat kepercayaan rakyat dan rakan koalisi untuk menerajui gabungan PN dan kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” tambahnya.

Menurut Wan Saiful, beliau menganggap isu kewujudan cai pemilihan tidak lagi timbul kerana masalah fraksi sudah tidak wujud setelah pengumuman pelan kompromi Presiden Bersatu.

“Dengan Bersatu mempunyai saf kepimpinan pelapis yang cukup baik seperti Ronald, Radzi dan Peja, saya percaya mereka memahami aspek kepuakan hanya membawa kepada perpecahan,” ulas beliau.