SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa ahli Parlimen dan senator supaya menetapkan parameter dalam perbahasan Parlimen akan datang untuk mendapatkan jaminan tentang kewarganegaraan.
Pesuruhjaya Suhakam, Ragunath Kesavan berkata, ia termasuklah jaminan daripada kerajaan dalam pembaharuan pentadbiran dan perundangan bukan sahaja tentang ketiadaan kerakyatan tetapi menyampaikan hala tuju yang jelas, telus dan inklusif ke arah kewarganegaraan untuk bakal warganegara.
“Kami menghargai inisiatif dan pelbagai usaha yang ditunjukkan oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini dalam mempercepatkan permohonan kewarganegaraan dan pendaftaran kelahiran dan perkahwinan dalam komuniti terpinggir.
“Bagaimanapun, perlindungan undang-undang dan pentadbiran perlu ada untuk mengelakkan mana-mana individu tercicir melalui sistem yang menjadikan mereka tidak bernegara atau tidak berdokumen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tentang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan kewarganegaraan akan dibahas dan diputuskan dalam sidang Parlimen bermula 14 Oktober ini.
Jelasnya, komitmen telah diberikan bahawa cadangan pindaan tersebut telah dikaji dengan teliti dan cermat agar keluhuran perlembagaan terjaga dan keselamatan di dalam negeri tidak dikompromi.
Tambah Ragunath, Suhakam juga berasa amat bimbang dengan berita baru-baru ini mengenai kenyataan ahli Parlimen mengenai pengecualian Sabah daripada peruntukan cadangan pindaan kepada klausa kewarganegaraan.
“Perkembangan itu menunjukkan kucar-kacir kerajaan dalam penyediaan RUU ini,” ujarnya.
Kerajaan turut digesa mempertimbangkan semula secara serius penghapusan hak automatik sekarang untuk kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia kepada pemastautin tetap.
Menurutnya, hak kerakyatan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui kebijaksanaan nenek moyang dan tidak seharusnya ditiadakan melalui sebarang pindaan perlembagaan.
“Kami bimbang bahawa penyingkiran hak kewarganegaraan automatik kanak-kanak yang dilahirkan kepada pemastautin tetap hanya memburukkan lagi masalah tanpa kerakyatan.
“Lebih-lebih lagi, di sebalik langkah dalam RUU untuk memperluaskan hak sama rata kepada wanita Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara, kami ingin menekankan penggunaan kesan retrospektif untuk faedah kanak-kanak yang dilahirkan selepas September 2001,” jelasnya.