SHAH ALAM - Undian elektronik (e-voting) merupakan salah satu inovasi dalam proses pilihan raya yang telah dilaksanakan beberapa negara di dunia dengan tujuan meningkatkan efisiensi, ketelusan dan aksesibilitas dalam proses pemilihan.
Menurut Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi, pelaksanaan e-voting mendapat perhatian kerana potensinya untuk mempercepat proses pengiraan undi dan mengurangkan kesilapan manusia.
“Antara contoh negara berjaya mengaplikasikan e-voting ialah Estonia. Ia merupakan negara pertama di dunia yang melaksanakan e-voting secara nasional pada tahun 2005.
“Sejak itu, penggunaan e-voting semakin meningkat dalam setiap pilihan raya. Pada 2019, lebih daripada 40 peratus undi diberikan secara dalam talian.
“Kejayaan Estonia dalam pelaksanaan e-voting banyak bergantung kepada infrastruktur digital yang kukuh serta kepercayaan tinggi rakyat terhadap sistem kerajaan dan keselamatan siber,” katanya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata, Estonia menerapkan pelbagai langkah keselamatan untuk memastikan integriti proses undian termasuk penggunaan kad identiti digital yang memiliki enkripsi keselamatan tinggi serta pemantauan yang ketat terhadap sebarang potensi ancaman siber.
Bagaimanapun katanya, terdapat contoh di mana pelaksanaan e-voting tidak semestinya bebas daripada masalah.
“Di Amerika Syarikat, beberapa negeri telah mencuba menggunakan e-voting terutamanya untuk undian tidak hadir atau undian awal.
“Namun pelaksanaan ini sering kali menghadapi kritikan terutamanya berkaitan dengan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem tersebut,” katanya.
Hussain Yusri berkata, beberapa laporan menunjukkan terdapat kerentanan dalam sistem e-voting yang boleh dieksploitasi pihak berniat jahat.
“Ini mengakibatkan ketidakpercayaan dalam kalangan pengundi dan mencetuskan desakan untuk meningkatkan keselamatan sistem pilihan raya elektronik,” ujarnya.
Perlu teliti
Ditanya adakah Malaysia sesuai melaksanakan e-voting, beliau berkata, persoalan tentang kesesuaian e-voting perlu diteliti dengan berhati-hati.
Katanya, Malaysia mempunyai infrastruktur digital yang semakin berkembang dan kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat, namun terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sebelum e-voting boleh dilaksanakan secara meluas.
**media[2794332]**
“Pertama, isu keselamatan siber menjadi kebimbangan utama. Malaysia perlu memastikan sistem e-voting yang akan digunakan dilengkapi dengan protokol keselamatan tinggi untuk mengelakkan sebarang manipulasi atau serangan siber.
“Kedua, kepercayaan rakyat terhadap sistem ini perlu dibina melalui pendidikan dan penerangan yang jelas tentang bagaimana e-voting berfungsi serta langkah-langkah yang diambil untuk melindungi integriti undian,” katanya.
Beliau berkata, kesaksamaan akses kepada teknologi juga perlu dipastikan.
“Malaysia mempunyai populasi yang besar dengan tahap kemajuan teknologi yang berbeza antara bandar dan luar bandar.
“Oleh itu, kerajaan perlu memastikan bahawa semua rakyat, tanpa mengira lokasi atau status sosio-ekonomi, mempunyai akses yang sama kepada kemudahan e-voting,” katanya.
Beliau berkata, e-voting boleh menjadi inovasi berpotensi untuk meningkatkan proses pilihan raya di Malaysia, tetapi ia memerlukan persediaan rapi dan komitmen untuk mengatasi cabaran yang ada.
“Pengalaman negara seperti Estonia menunjukkan bahawa kejayaan e-voting bergantung kepada infrastruktur digital yang kukuh dan kepercayaan rakyat.
“Jika Malaysia mampu menyediakan asas-asas ini, e-voting mungkin boleh menjadi realiti di masa depan tetapi ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab,” kata beliau.