Rawat segera cedera politik PRK Sungai Bakap

PASCA kekalahan di tangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pakatan Harapan (PH) disarankan supaya segera merawat kecederaan politik yang dialami itu.

Ia bagi mengelakkan luka parah PRK Sungai Bakap ‘berjangkit’ ke tempat lain di negeri itu, sekali gus menjejaskan prestasi dan peluang PH menjelang mana-mana pilihan raya akan datang.

Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, Kerajaan Perpaduan khususnya kepimpinan DAP perlu sedia bertindak drastik jika ingin melihat PH terus diterima rakyat.

“Merujuk kekalahan PH di Sungai Bakap, tidak keterlaluan jika disarankan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow diganti atau beliau sendiri meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas kekalahan tersebut.

“Hal ini kerana, di bawah terajunya sebagai Ketua Menteri telah menyaksikan prestasi PH di Pulau Mutiara merosot terutama ketika Pilihan Raya Negeri ke-15 lalu apabila hilang 11 kerusi kepada PN,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah Mohammad Tawfik, sebab kedua Pengerusi Pakatan PH Pulau Pinang itu perlu berundur adalah kerana kejayaan PN menambah sokongan majoriti hampir dua kali ganda pada PRK Sungai Bakap, sebaliknya PH mengalami penurunan sokongan pengundi Cina.

“Kejayaan PN menambah majoriti hampir dua kali ganda menandakan peralihan undi berlaku dari pelbagai segmen kaum pengundi iaitu Cina, Melayu dan India sekali gus memperlihatkan pengundi hari ini pragmatik.

“Mereka mengundi atas kebijaksanaan untuk menyatakan protes dan menyuarakan kepentingan hidup secara terbuka dalam pilihan raya. Malah boleh dikatakan ini merupakan gelombang hijau kedua membadai Pulau Pinang dan kali pertama majoriti besar diperoleh calon menang dalam PRK berbanding di Pelangai dan Kuala Kubu Bharu sebelum ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan PH supaya tidak mengambil mudah undi kaum Cina dan menjadikan ia sebagai deposit tetap setiap kali pilihan raya.

“Buktinya pada PRK Sungai Bakap pengundi Cina bukan sekadar tidak ramai keluar mengundi menandakan protes tetapi wujud swing vote di beberapa pusat daerah mengundi dan beralih kepada PN.

“Paling menakutkan dalam politik kaum Cina, apabila mereka boleh beralih arah jika perniagaan terjejas serta tidak menguntungkan akibat faktor dasar yang tidak menyebelahi perniagaan mereka,” katanya.

Ujarnya lagi, masa Kon Yeow menerajui kerajaan Pulau Pinang telah tamat dan perlu diserahkan kepada muka baru yang lebih segar dan berwibawa.

“Calon dilihat sesuai menggantikan Kon Yeow ialah Adun Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari. Beliau merupakan pemimpin keturunan campuran Cina dan Melayu Islam yang muda serta mampu mengembalikan sokongan orang Melayu khususnya dari bahagian tanah besar Pulau Pinang.

“Malah pelantikan Zairil juga mampu meredakan persepsi orang Melayu diketepikan dan wujud pandangan pembangunan di kawasan Seberang Perai tidak serancak bahagian pulau kerana majoriti penduduknya ialah orang Melayu,” katanya.

Selain itu, untuk memulihkan reputasi, PH turut disaran merombak semula projek pembangunan yang tertumpu di bahagian pulau dan melaksanakan lambakan projek pembangunan serta aktiviti ekonomi di bahagian tanah besar Seberang Perai bagi memperlihatkan keseimbangan.

“Misalnya ubah dan tambah jajaran LRT Penang di bahagian Seberang Perai Tengah dan Utara serta Selatan bagi membuka ruang pembangunan yang lebih pesat kepada kawasan majoriti orang Melayu dan kawasan kerusi yang dikuasai PN.

“Ini menyebabkan pengundi di kawasan berkenaan mula lembut hati dan gembira dengan kepimpinan negeri yang tidak pilih kasih dalam menjalankan projek pembangunan.

“Selesaikan juga masalah air dengan segera khususnya di Sungai Bakap walaupun tewas dalam PRK bagi memperbetulkan pandangan serong pengundi dan rakyat bahawa parti pemerintah hanya berjanji manis ketika kempen pilihan raya,” katanya.

Tidak ketinggalan, memberikan peruntukan setimpal dan lebih tinggi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang khususnya PN untuk menggambarkan kerajaan Pulau Pinang tidak mengetepikan kawasan pembangkang.

Fahami mesej rakyat

Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi turut menggariskan beberapa tindakan lanjut boleh diambil PH susulan kekalahan pada PRK Sungai Bakap Sabtu lalu.

“PH perlu memahami mesej rakyat di kotak undi dengan jelas dan tepat. Tanpa kefahaman yang menggambarkan suara rakyat, mereka akan cenderung merangka strategi yang tersimpang dari penyelesaian yang wajar ataupun analisis dan tafsiran yang sekadar menyedapkan halwa telinga sendiri.

“PH sebagai kerajaan juga perlu fokus bukan semata-mata menutup ketirisan tetapi mengembangkan kek ekonomi. Ini kerana, persaingan ekonomi sering mengundang sentimen perkauman dalam membicarakan hak dan kepentingan masing-masing.

“Seterusnya PH perlu memahami secara mikro tingkah laku dan budaya setiap kaum khususnya dalam soal ekonomi dan pembangunan berikutan setiap kumpulan mendambakan bentuk pembangunan berbeza,” katanya.

Tambah Anis Anwar, PH perlu menyampaikan komunikasi yang jelas dan terperinci kepada rakyat terutama dalam pelaksanaan sesebuah dasar baharu kerajaan serta bagaimana kerajaan akan mengendalikan ketidakselesaan rakyat dalam transisi tersebut.

Tambahnya, PH juga perlu mengembalikan sokongan pengundi Barisan Nasional 2018 yang telah terhakis sejak Pilihan Raya Umum ke-15.

“Sewajarnya dengan gandingan pengundi tersebut membolehkan mereka mengemudi politik negara dalam penggal ini dengan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang ucapan kurang sopan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berkempen di Sungai Bakap, Anis Anwar tidak menolak ia umpama bola tanggung yang dijadikan peluru politik oleh pembangkang dalam menyerang kredibiliti urus tadbir kerajaan.

“Mungkin Rafizi niat untuk berbicara secara santai sebagai seorang ahli politik berbanding menteri, namun ia juga menggambarkan ekspresi beremosi atas faktor ketidakupayaan beliau meyakinkan orang ramai terhadap perkembangan dasar yang sedang dilaksanakan.

“Sewajarnya Rafizi boleh berkempen secara bersahaja dan menjelaskan pencapaian kerajaan bagi setiap fasa dan bagaimana penstrukturan dan reformasi ekonomi melalui formula beliau akan bergerak dan memberi kesan dalam tempoh masa yang disasarkan.

“Sekiranya penjelasan dibuat dalam pendekatan itu, potensi besar rakyat akan memiliki sentimen lebih baik terhadap Rafizi berbanding sikapnya yang agak defensif,” katanya.