Notis lucut ahli menyusul

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan tindakan terhadap tujuh wakil rakyat dari parti itu tidak bercanggah dengan undang-undang antilompat parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No3) 2022 (Akta A1663).

Sinar Premium difahamkan satu tindakan susulan bakal diambil Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang melibatkan penghantaran notis pemakluman pelucutan keahlian parti secara automatik kepada kesemua wakil rakyat terbabit.

Seterusnya, pengurusan parti itu dijangka menghantar notis pemakluman pelucutan keahlian ‘tujuh sekawan’ itu kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pas.

**media[2684591]**

Ia dilakukan kerana empat daripada ahli Parlimen Bersatu itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 menggunakan lambang PN.

Pada masa sama, terdapat dua kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan dua wakil Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang dan DUN Nenggiri) serta Zahari Kechik (Jeli) yang bertanding pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan tahun lalu yang menggunakan lambang Pas.

Melalui langkah itu, PN dan Pas boleh mengambil tindakan lanjut dengan menghantar notis memaklumkan kekosongan kerusi Parlimen dan DUN kepada Speaker Parlimen dan DUN, selaras dengan Fasal 49A Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri Selangor.

**media[2684589]**

Selain PN dan Pas, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah turut memaklumkan pengurusan Bersatu juga bakal menghantar notis kepada Speaker Parlimen dan DUN bagi memaklumkan kekosongan kerusi Parlimen dan DUN membabitkan wakil rakyat mereka.

Jelasnya, keputusan menghentikan keahlian 'tujuh sekawan' itu secara automatik kerana mereka gagal menjawab surat arahan bertulis MPT parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan.

“Jadi, proses tindakan susulan parti itu merangkumi proses hantar notis kepada tujuh wakil rakyat berkenaan, notis kepada PN dan Pas bagi memaklumkan permohonan pengosongan kerusi perlu dikemukakan kepada Speaker Parlimen dan DUN serta proses terakhir penghantaran notis kepada Speaker,” katanya kepada Sinar Premium.

MPT Bersatu pada Jumaat petang memuktamadkan keputusan keahlian tujuh wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah menyokong Kerajaan Perpaduan, disahkan terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

Parti itu turut bersepakat kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dikosongkan.

Mereka yang terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang dan DUN Nenggiri), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari iaitu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!