PH-BN mampu menang semua kerusi PRK

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi kerusi di enam Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) milik wakil rakyat Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu diadakan.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ia susulan trend semasa menunjukkan PH dan BN berjaya memujuk pengundi masing-masing untuk merestui kerjasama berkenaan.

Katanya, ditambah dengan tawaran yang mampu menarik minat pengundi, ia dilihat akan memberi banyak kelebihan kepada PH-BN.

"Maka jika ada pilihan raya saya lihat PH-BN kalau masih boleh melakukan penambahbaikan kepada pengundi Melayu tiada masalah untuk mereka menang dan rampas kawasan tersebut.

"Jadi untuk beri pertimbangan adil kepada semua saya rasa apa jua pilihan raya perlu berlaku 'perlawanan terbuka', sesiapa yang datang dengan calon baik dan ada faktor mengena, parti tersebut boleh menang," ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, kemenangan PH-BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) menunjukkan peningkatan sokongan kepada parti yang menerajui Kerajaan Perpaduan.

Kata Mujibu, faktor pengundian orang Melayu dan anak muda dalam pilihan raya harus dilihat secara seimbang.

"Bila seimbang maknanya pengundi Melayu dan bukan Melayu ini lebih kurang sama. Bagaimanapun enam kawasan pilihan raya itu ada kawasan Melayu tinggi melebihi 70 peratus.

"Kawasan sebegini mungkin PN dengan sentimen mereka boleh memenanginya atas kertas tetapi tidak boleh berbangga bahawa mereka masih dapat sokongan Melayu," jelasnya.

Bagaimanapun beliau berpendapat, PRK tidak wajar diadakan tanpa sebab munasabah memandangkan ia perlu mengikut Perlembagaan.

"Lagipun, kos mengadakan pilihan raya adalah tinggi bukan sahaja kepada negara malah melibatkan pengundi, melakukannya tanpa alasan yang munasabah adalah sia-sia.

"Kalau keputusan Speaker mengekalkannya, ia harus dihormati tetapi untuk melakukan pilihan raya atas sebab kata undi bakal meningkat atau sebagainya, itu satu perbuatan yang tidak wajar," katanya.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Kerajaan Perpaduan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala ADUN Selat Klang daripada Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari telah mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

--

Info keputusan PRU15 enam kerusi Parlimen dan satu PRN Selangor DUN wakil rakyat Bersatu yang sokong PM

ROSKHOIRAH YAHYA

1) P59 BUKIT GANTANG

Jumlah Pengundi: 94,253

1. SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (PN-BERSATU) 32,625 MENANG

2. Fakharuldin Mohd Hashim (PH-AMANAH) 18,565

3. Mohd Shukri Mohd Yusoff (PEJUANG) 508

4. Mohammad Sollehin Mohamad Tajie (BN-UMNO) 19,869

Majoriti: 12,756

2)P30 JELI

Jumlah Pengundi: 59,798

1. ZAHARI KECIK (PN-BERSATU) 27,072 MENANG

2. Muhammad Daud (PEJUANG) 133

3. Norwahida Patuan (BN-UMNO) 14,608

4. Md Radzi Wahab (PH-AMANAH) 1,140

Majoriti: 12, 464

3) P32 GUA MUSANG

Jumlah Pengundi: 70,254

1. DATUK MOHD AZIZI ABU NAIM (PAS-Bersatu) 21,826 MENANG

2. Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO)21,663

3. Dr Samsu Adabi Mamat (Putra-Pejuang)371

4. Asharun Uji (PH-PKR) 4,517

Majoriti: 163

4) P67 KUALA KANGSAR

Jumlah Pengundi: 46,985

1. DATUK ISKANDAR DZULKARNAIN ABDUL KHALID (PN-BERSATU) 14,380 MENANG

2. Datuk Maslin Sham Razman (BN-UMNO)10,814

3. Yusmalia Mohamad Yusof (Pejuang)204

4. Ahmad Termizi Ramli (PH-Amanah)10,356

Majoriti: 3,566

5) P95 TANJONG KARANG

Jumlah Pengundi: 62,186

1. KAPTEN (B) DATUK DR ZULKAFPERI HANAPI (PN-Bersatu) 18,054 MENANG

2. Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa)3,557

3. Mohd Rosni Mastol (Bebas/)1,406

4. Siti Rahayu Baharin (MUDA)12,314

5. Datuk Habibah Mohd Yusof (BN-UMNO)15,874

Majoriti: 2,180

6) 166 LABUAN

Jumlah Pengundi: 44,522

1. SUHAILI ABD RAHMAN (PN-BERSATU) - 8,124 MENANG

2. Bashir Alias (BN-UMNO) - 7,416

3. Dr Ramli Tahir (PH-AMANAH) - 5,307

4. Ramle Mat Daly (PEJUANG) - 90

5. Rozman Isli (WARISAN) - 7,310

6. SUHAILI ABD RAHMAN (PN-BERSATU) - 8,124 MENANG

7. Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (PBM) - 202

Majoriti: 708

DUN SELAT KLANG

1) Datuk Abdul Rashid Asari (PN- Bersatu) - 25,143- MENANG

2) Datuk Roslee Abdul Hamid (BN)- 16,818

3) Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor (PRM) - 742

Majoriti: 8,325

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!