Mohd Shafie tidak tolak Sabah boleh diperintah satu parti sahaja

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak menolak Sabah boleh diperintah oleh sebuah parti sahaja tanpa sebarang gabungan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, ia jelas dapat dilihat menerusi pengalaman lalu apabila Sabah hanya diperintah oleh Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) suatu ketika dulu.

Menurutnya, kerjasama dengan parti lain harus diteliti kerana perlu melihat kepada kekuatan gabungan yang dibentuk bersama.

"Saya pernah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di mana setiap parti masing-masing meminta kerusi dan bagi yang menggunakan logo Warisan menang, manakala yang menggunakan logo sendiri hanya menang dua kerusi.

"Saya ingat kalau dilihat dari sejarah sudah pernah rakyat Sabah memutuskan untuk memilih satu parti, Berjaya 10 tahun tidak ada gabungannya, lepas itu PBS pula 10 tahun memerintah Sabah jadi maknanya sudah ada pengalaman daripada dulu tanpa ada gabungan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B Nagabhushana Reddy.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun keadaan berbeza namun keputusan siapa memerintah Sabah masih terletak di tangan rakyat sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang.

"Terserah kepada rakyat Sabah, kalau rakyat Sabah mahukan supaya jelas perjalanan pembangunan, kestabilan dan kemajuan di Sabah ini, kita kena ada gerakan yang sama, rancangan kita, dasar kita untuk membantu rakyat.

"Saya ingat itu jauh lebih baik, mungkin bukan mudah kerana ada yang terikat dengan parti-parti tetapi walaupun terikat banyak sudah parti yang akar pun sudah tinggal sejarah.

"Jadi kita nampak keadaan itu sudah pernah berlaku cuma terserah kepada rakyat Sabah sama mahu ada banyak parti atau satu satu parti (memerintah), yang menentukan siapa yang berkuasa adalah pengundi Sabah bukan dari Semenanjung, bukan parti dari Semenanjung," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!