Kepimpinan Bersatu di Sabah pula berpecah, sertai STAR

KOTA KINABALU - Tiga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Keputusan yang diambil ketiga-tiga Ketua Bahagian masing-masing dari Papar, Kota Marudu dan Putatan itu selepas mereka menyatakan hilang keyakinan terhadap hala tuju parti nasional dalam memperjuangkan suara rakyat Sabah.

Bekas Ketua Bersatu Papar, Faisal Julail, bekas Ketua Bersatu Kota Marudu, Mohd Faizal Saidi dan bekas Ketua Bersatu Putatan, Datuk Azni Mohd Salleh menyerahkan borang keahlian kepada Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam satu majlis di sini.

Azni berkata, tindakan Jeffrey keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada awal bulan ini menjadi pencetus keberanian untuk mereka turut mengambil langkah sama.

"Jeffrey boleh sahaja kekal dalam kedudukan selesa dan menikmati segala keistimewaan sebagai sebahagian daripada kerajaan sementara. Namun, beliau memilih untuk keluar selepas melihat kepimpinan ketika itu tidak bersedia membenarkan parti-parti tempatan Sabah berdiri sendiri," katanya.

Katanya lagi, Jeffrey selama ini cuba meyakinkan pimpinan GRS agar memberi autonomi lebih besar kepada parti tempatan namun usaha itu tidak berhasil.

"Saya mengikuti politik sekian lama dan saya sedar bahawa ketakutan tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Mungkin kerana beliau pernah ditahan tanpa bicara serta dianiaya kerana mempertahankan hak Sabah, maka kuasa bukan sesuatu yang mahu dipertahankannya," ujarnya.

Faisal pula berkata, keberanian Jeffrey meninggalkan GRS meskipun berdepan tekanan termasuk dikaitkan dengan isu video tular bersama individu dikenali Albert Tei menunjukkan ketegasan prinsip pemimpin itu.

"Lebih mencurigakan apabila perkara itu berlaku sejurus selepas jelas beliau bersedia meninggalkan GRS. Apabila seseorang berani bertindak demi prinsip, ia membawa makna besar. Keberanian Jeffrey mencerminkan integriti dan keikhlasannya memperjuangkan Sabah," katanya.

Beliau juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mengesahkan kerajaan Persekutuan gagal menunaikan obligasi pemberian hasil bersih 40 peratus kepada Sabah.

"STAR tidak pernah berundur dalam perjuangan Sabah for Sabahans. Mereka yang memulakannya," katanya.

Ketiga-tiga pemimpin peringkat bahagian itu turut menzahirkan kekecewaan kerana suara Sabah kembali tenggelam dalam parti nasional.

"Dalam parti nasional, suara Sabah for Sabahans tetap tidak kedengaran. Hanya parti tempatan seperti STAR memberi ruang untuk kami bersuara bagi pihak rakyat tanpa perlu tunduk kepada ‘ibu pejabat’,” ujar Faizal.

Sementara itu, Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, perkembangan itu menunjukkan sokongan terhadap gerakan 'Sabah For Sabahans' semakin meluas di utara, pantai barat dan pedalaman pantai barat negeri ini.

"Seperti yang dinyatakan mereka, segala yang dilakukan di bawah PN ditentukan dan dikawal sepenuhnya oleh ‘tuan-tuan’ di Semenanjung.

"Angin perubahan kini bertiup di seluruh Sabah. Ia meniup ke arah Sabah For Sabahans dan Justice For Sabah. Selama 63 tahun, rakyat Sabah dinafikan hak mereka. Seperti dalam filem Star Wars, rakyat kini bangkit melawan. Mereka sudah cukup. Sabah For Sabahans. Justice For Sabah," tegasnya.