Wan Saiful dakwa Muhyiddin jadi liabiliti PN

SHAH ALAM- Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) apabila timbul persoalan mengenai niat sebenar beliau selepas dikatakan berhasrat untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, timbul tanda tanya sama ada langkah berkenaan dibuat demi perjuangan parti atau memenuhi kepentingan peribadi?

"Persoalan ini dari segi politik, mencederakan mesej PN sebagai parti yang bersih dan stabil," katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada Jumaat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut menegaskan akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu sebaliknya bagi menggesa supaya usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

"Lebih kurang dua minggu sebelum perhimpunan agung, timbul ura-ura bahawa ada satu usul hendak dibawa untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri. Kita tahu dari awal lagi Pas tidak bersetuju dan kita tidak mahu hubungan dengan parti itu menjadi renggang.

"SD itu sebenarnya bukan mengenai tukar presiden tetapi diambil kesempatan oleh individu tertentu untuk menyatakan bahawa ia adalah usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin. Malangnya, beliau pun percaya," dakwanya

Jelas Wan Saiful, apabila timbul pelbagai persoalan dibangkitkan berhubung niat Muhyiddin untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri, perkara yang seharusnya dilakukan oleh beliau adalah melepaskan jawatan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata Hamzah turut dipanggil oleh lembaga disiplin kerana kegagalan Timbalan Prersiden Bersatu itu mengawal beliau.

Media sebelum ini melaporkan, Bersatu mengambil tindakan terhadap Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal kerana melanggar perlembagaan serta tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut memecat empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).