Ada komitmen lain punca tiada wakil Pas

SHAH ALAM - Pas memaklumkan bahawa ketidakhadiran wakil parti itu ke perjumpaan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan adalah disebabkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih berada di Kedah.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, walau bagaimanapun, pihaknya sedia maklum mengenai program tersebut.

“Tuan Guru masih di Kedah dan memang dalam makluman Pas mengenai program ini.

“Tiada wakil dihantar memandangkan yang lain juga tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu dan mempunyai komitmen dengan program lain,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan perbincangan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan pada Jumaat.

Beliau berkata, pertemuan itu diadakan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai penubuhan Barisan Pembangkang Bersatu rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Antara yang hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan; Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.