PRN Sabah: Amanah sasar lima kerusi DUN -Mohamad Sabu

KOTA KINABALU - Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerusi-kerusi DUN yang disasarkan itu masih belum dimuktamadkan kerana rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) masih berjalan.

“Belum pasti, itu hasrat dan rundingan. Dapat atau tidak di tempat yang disebut itu, kita serah kepada perundingan. Tapi kami berjanji akan berada dalam rundingan.

“Daripada lima kerusi yang kita sasarkan, ia masih dalam proses rundingan, cuma dua kerusi telah selesai di peringkat PH dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Sabah Amanah di Sembulan, di sini, pada Sabtu.

Sebelum itu, tiga kerusi yang disebut dalam ucapan Pengarah Pilihan Raya Amanah merangkap Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, serta Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) merangkap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, ialah DUN Tanjung Aru, DUN Sulabayan dan DUN Lumadan.

Ketika ditanya mengenai sasaran di DUN Sulabayan yang dilihat sebagai tindakan ‘bunuh diri’ memandangkan ia merupakan kubu kuat Parti Warisan (Warisan), Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekali lagi menegaskan bahawa perkara itu masih dalam rundingan.

“Itu pun belum tentu kita dapat kerusi itu, tak tahu lagi. Mana-mana saja yang diputuskan nanti, sekarang kita hanya boleh sebut dalam bentuk andaian,” katanya.

Mengulas mengenai sentimen rakyat Sabah yang dilihat lebih cenderung memilih parti tempatan, Mohamad menjelaskan bahawa Amanah juga akan menampilkan calon tempatan dalam PRN kali ini.

“Sentimen itu diukur oleh siapa? Jadi, itu sekadar pandangan. Tapi kita pun akan kemukakan calon semua lokal, semua rakyat Sabah. Yang menggerakkan pun lokal,” katanya.

Bercakap mengenai pelancaran jentera pilihan raya tersebut, beliau berkata Amanah akan tetap bekerjasama dengan semua parti gabungan, terutamanya dalam PH.

“Cuma bila kita nak gerakkan ahli Amanah, kita kena kerahkan sendiri juga. Selepas jentera ini terbentuk, kita akan mula bersama, terutama dalam kempen bersama orang ramai. Kita tahu banyak parti Semenanjung di sini, BN pun sama, tapi rakyat Sabah tiada masalah dengannya,” katanya.

Untuk rekod, Amanah kini mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan 18 bahagian di seluruh Sabah.