Kerangka Ekonomi Madani tunjuk pertumbuhan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 telah mengumumkan kerangka Ekonomi Madani sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Kini setelah hampir dua tahun pemerintahan, kita dapat menyaksikan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang amat positif kerana didorong oleh lonjakan permintaan domestik serta pemulihan berterusan eksport. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus pada suku pertama, 5.9 peratus pada suku kedua dan 5.3 peratus pada suku ketiga.

Ini menjadikan kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi sembilan bulan pertama 2024 sebanyak 5.2 peratus dan memberi keyakinan untuk Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi daripada unjuran 2024 iaitu antara empat peratus hingga lima peratus.

Selain itu, beberapa indikator makro ekonomi turut mencatatkan peningkatan seperti jumlah pekerjaan yang meningkat 2.8 peratus kepada 16.6 juta pekerja.

**media[2899392]**

Sebanyak 190,000 pekerjaan baharu telah dicipta sekali gus mendorong kadar pengangguran kekal rendah pada 3.3 peratus.

Kenaikan gaji dan upah bagi sektor-sektor perkhidmatan dan pembuatan juga kekal memberangsangkan iaitu masing-masing pada 3.5 peratus dan 1.4 peratus.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meningkat pada kadar lebih tinggi iaitu 4.5 peratus pada suku tahun kedua 2024 berbanding 3.3 peratus pada suku tahun pertama.

Jumlah dagangan Malaysia berkembang 10 peratus kepada RM705.6 bilion. Eksport kasar meningkat 5.8 peratus kepada RM368.8 bilion dan import kasar berkembang sebanyak 15 peratus kepada RM336.8 bilion.

Malaysia telah mengekalkan lebihan dagangan berjumlah RM32 bilion pada suku tahun kedua 2024 yang merupakan lebihan dagangan sejak Mei 2020. Pelaburan langsung asing (FDI) bersih adalah sebanyak RM9.1 bilion (suku tahun pertama 2024: RM5.5 bilion).

Kenyataan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 Oktober 2024 bahawa ringgit merupakan antara mata wang yang sedang menunjukkan prestasi terbaik pada peringkat global, mengukuh kepada 14.4 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024 dan 11.4 peratus pada asas sejak awal tahun sehingga kini.

**media[2899393]**

Kadar inflasi pada Ogos kekal rendah pada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada suku tahun pertama 2024.

Kadar OPR pada awal 2023 adalah 2.75 peratus yang kemudiannya dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023 dan kekal sehingga kini.

Median upah bulanan pekerja sektor formal meningkat kepada RM2,844 pada Mac 2024 berbanding RM2,782 pada Februari 2024.

Secara kesimpulannya, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan sejak dua tahun lepas dan Kerajaan Madani kekal komited menaikkan taraf ekonomi rakyat.

* Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff ialah Pengarah Program MBA Putra Business School,